suria

Jangan Bermimpi Untuk Anjurkan Olimpik, Kata MOM

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperbanyakkan jaguh bertaraf Asia serta atlet yang layak ke Olimpik sebelum berangan-angan untuk menjadi tuan rumah untuk sukan tersebut.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata ini adalah antara syarat utama bagi menganjurkan sukan tersebut kerana sebagai negara tuan rumah, Malaysia perlu mempunyai kelompok besar jaguh Olimpik serta kerap memenangi pingat emas pada temasya tersebut.

"Itu merupakan syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kepada negara yang berminat menjadi tuan rumah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun Malaysia mampu menyediakan infrastruktur sukan bertaraf Olimpik faktor tersebut perlu diambilkira.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa Malaysia tidak bercadang untuk menganjurkan Sukan Olimpik dalam masa terdekat.

Sieh berkata: "Apa guna kita menjadi tuan rumah sekiranya tidak mampu memperolehi sebarang pingat emas dalam temasya tersebut," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Malaysia mampu menjadi tuan rumah sukan Olimpik, "mungkin 20 atau 30 tahun akan datang".

Dalam perkembangan lain beliau berkata kesungguhan kerajaan untuk membangunkan sukan paralimpik dengan pembinaan Kompleks Sukan Paralimpik di Kampung Pandan, dekat sini akan memberi lebih kemudahan dan keselesaan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk menganjurkan program berkaitan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain