suria

Sukan Sea: Atlet Laos jalani latihan di seberang laut

VIENTIANE: Laos, sebuah negara kecil dalam arena sukan di rantau ini, kini bersiap sedia menjelang Sukan SEA ke-25 dengan menghantar para atletnya dari 11 acara sukan untuk berlatih di seberang laut selain mendapatkan jurulatih sekurangku-rangnya dari 10 negara.

Tuan rumah sukan itu, kini berusaha untuk mengatasi pungutan lima pingat emas yang dimenangi pada edisi sebelum ini di Thailand, kini bergantung kepada tujuh acara sukan mempertahankan diri dan petanque yang menjadi kegemaran tempatan.

"Kami berharap untuk memperbaiki pungutan pingat. Tetapi sudah tentu kami tidak mensasarkan untuk muncul juara keseluruhan walaupun menjadi tuan rumah," kata Naib Presiden Jawatankuasa Sukan Kebangsaan Laos (LNSC), Somphou Phongsa dalam satu temubual barubaru ini.

Beliau berkata Vietnam merupakan satu daripada pangkalan utama latihan bagi para atlet Laos termasuk pasukan bola sepaknya yang dipimpin jurulatih Austria dengan harapan mereka akan mara ke separuh akhir.

"Ia bukannya mudah. Thailand, Vietnam, Malaysia dan Myanmar mempunyai pasukanpasukan yang baik," kata Somphou, yang melatih pasukan bola sepak Laos yang mengejutkan pasukan Malaysia pada Sukan SEA di Jakarta pada 1997.

Somphou berkata terdapat kira-kira 700 atlet dalam latihan pusat dengan kira-kira 600 dijangka mengambil bahagian dalam 25 acara sukan dalam pesta sukan dwitahunan yang disertai 11 negara anggota yang menandakan ulang tahunnya yang ke-50 tahun ini.

Katanya atlet taekwondo kini menjalani latihan tiga bulan di Korea Selatan manakala atlet pencak silat berlatih di Vietnam.

Sukan lain yang menggunakan Vietnam sebagai pangkalan latihan ialah dalam acara renang, terjun, karatedo, badminton dan wushu, yang juga menjalani latihan yang sama di China. Laos juga memilih Malaysia sebagai tempat latihan dan pusat pertandingan bagi para pelumba basikalnya.

Somphou berkata pasukan tinju, dengan jurulatih dari Cuba, kini menjalani latihan di Milan, Itali. Jurulatih dari Mongolia juga memberi tunjuk ajar kepada para atlet acara gusti dan judo.

Thailand, satu kuasa yang disegani dalam acara padang dan balapan telah menghantar empat jurulatih bagi menunjuk ajar pasukan Laos manakala jurulatih dari negara luar adalah dalam acara menembak (Vietnam), sepak takraw (Thailand), wushu (China), bola sepak wanita(Korea Utara), pencak silat (Indonesia), judo (Jepun) dan memanah (Thailand). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain