suria

“Filem ini agak ‘biadab’ in a good way…” - Gemencheh Boys buktikan pelajar sekarang terlalu manja!

Enam sahabat nakal di kampung berjaya harumkan nama negara dalam Gemencheh Boys.

KISAH inspirasi enam sahabat mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia dalam bidang sukan kriket menjadi jalan cerita filem terbaharu berjudul Gemencheh Boys.

Bangga dengan penghasilan karya kisah benar ini, pengarahnya iaitu Jason Chong juga yakin ia bukan sekadar hiburan kosong.

Sebaliknya dia percaya setiap paparan dan jalan cerita dalam filem ini mampu memberi kesan mendalam kepada penonton yang mana secara tidak langsung meningkatkan motivasi diri sendiri.

gemencheh boys 2

Bukan hanya hiburan, Gemencheh Boys juga beri inspirasi kepada penonton.

"Filem ini adalah sebuah kisah sebenar yang memaparkan tentang bagaimana seseorang mengubah kehidupan orang lain dengan memberi harapan dan keyakinan.

"Selain memberikan nilai hiburan, saya percaya karya ini mampu meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak seperti mana filem terdahulu yang kami terbitkan iaitu Adiwiraku.

"Saya harap Gemencheh Boys akan kekal relevan untuk penonton Malaysia dan saya rasa amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada filem ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Susah lidah Kelantan nak tukar loghat nogori... Pekin Ibrahim terbawa-bawa dialek sampai ke rumah, Mona Allen pun naik pelik!

ARTIKEL BERKAITAN: 4 perspektif Afdlin Shauki dalam ‘Harimau Malaya: The Untold Journey’, berdebar menanti reaksi penonton

Perjalanan asal filem ini diceritakan sendiri oleh atlet bernama Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.

Menerusi tagline ‘no retreat, no surrender’, Gemencheh Boys memaparkan kisah Shafiq dan lima sahabatnya berasal dari Felda Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan, yang cukup terkenal dengan sikap nakal mereka sehingga digelar 6 Jahanam.

Bercakap tentang filem ini Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara iaitu Raja Jastina Raja Arshad juga yakin filem ini seharusnya menjadi tontonan bermanfaat kepada khalayak.

Filem ini adalah sebuah kisah sebenar yang memaparkan tentang bagaimana seseorang mengubah kehidupan orang lain dengan memberi harapan dan keyakinan

JASON CHONG

PENGARAH

"Kami menyedari bahawa sukan kriket tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat Malaysia seperti mana sukan bola sepak atau badminton. Walau bagaimanapun, jalan cerita yang dipertaruhkan menerusi Gemencheh Boys mampu memberi inspirasi kepada semua penonton.

"Ia sebuah kisah yang membuktikan orang biasa boleh menjadi luar biasa. Mereka juga telah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Lebih menarik lagi teraju utama dalam filem ini dilakonkan oleh enam muka baharu yang dipilih menerusi uji bakat untuk membawakan Gemencheh Boys.

gemencheh boys 3

Barisan pelakon utama Gemencheh Boys.

Mereka adalah Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq.

Manakala Pekin Ibrahim pula menggalas tugas sebagai Cikgu Azman yang merupakan pembimbing mereka sehingga mampu bersaing di peringkat dunia sekaligus membawa pingat buat negara.

Selain kisah guru dan enam sahabat ini, Gemencheh Boys turut membawa penonton mengimbau kenangan hidup pada sekitar tahun 1990an menerusi babak-babak menarik yang dipamerkan.

Gemencheh Boys turut mendapat sokongan daripada Malaysia Cricket Association dan Kementerian Belia Dan Sukan. Antara sokongan seperti kolaborasi di acara julung kali diadakan di Malaysia, Internasional Cricket Counsil - ICC Men’s Cricket World Cup Trophy Tour.

gemencheh boys 4

Gemencheh Boys bakal mulakan tayangan 26 Oktober.

Filem terbitan Astro Shaw bersama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures ini akan memulakan tayangan pada 26 Oktober di seluruh pawagam.

Pelakon lain yang turut terlibat adalah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin dan Arumugam Vedan.

Lagu rasmi filem ini adalah Siapa Kami nyanyian penyanyi rap terkenal dari Negeri Sembilan, W.A.R.I.S bersama David Koon, Andrew Lui dan Ronald Mok.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain