suria

Seram! ‘Kutukan Sembilan Setan’ buat penonton tak senang duduk, rupanya kisah benar kejadian misteri di Gunung Bromo

Filem Kutukan Sembilan Setan bakal ditayangkan bermula 26 Oktober.

BERDASARKAN kisah benar seorang pemuda bersama tiga rakannya mengalami kejadian aneh dan gangguan ketika mendaki gunung Bromo, PIM Pictures mendapat ilham menerbitkan filem seram berjudul Kutukan Sembilan Setan.

Gunung yang terletak di Jawa Timur, Indonesia itu merupakan antara gunung yang menjadi tarikan pendaki kerana mempunyai pemandangan yang indah serta menyegarkan.

Namun disebalik keindahan alam itu terselit kejadian aneh dan menyeramkan yang pernah dialami oleh segelintir pendaki membuatkan PIM Pictures berminat untuk menterjemahkan kisah itu dalam bentuk filem.

kutukan setan 2

Kisah sebenar lima sahabat dalam Kutukan Sembilan Setan.

Penerbitnya iaitu Agustinus Sitorus berkata dia tertarik untuk menghasilkan filem berkenaan setelah mengetahui cerita seorang pemuda bernama Very Barus dan rakannya.

"Apabila diceritakan pengalaman tersebut, akhirnya kami berbincang dan sepakat untuk menghasilkan filem Kutukan Sembilan Setan.

"Jalan cerita yang dipaparkan dalam filem ini telah diolah menjadi sebuah kisah yang menarik, namun ia adalah inspirasi kepada kejadian yang dialami sekumpulan remaja tersebut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 4 perspektif Afdlin Shauki dalam ‘Harimau Malaya: The Untold Journey’, berdebar menanti reaksi penonton

ARTIKEL BERKAITAN: Dokumentari ‘Man On The Run’ papar kisah skandal 1MDB, lulus LPF tanpa potongan

Kutukan Sembilan Setan mengisahkan tentang Verdy bersama rakan-rakannya iaitu Devon, Sarah, Lia dan Miko yang merancang percutian di sebuah kawasan di gunung Bromo serta menyewa sebuah villa selama lima hari.

Bagaimanapun, setibanya mereka di situ, keadaan villa berkenaan tidak sama seperti yang digambarkan kerana kelihatan aneh dan menyeramkan.

Lima sekawan tersebut menguatkan diri untuk bermalam di villa berkenaan walaupun diganggu beberapa kejadian misteri sejak hari pertama menginap.

kutukan setan 4

Kisah misteri sebenar dipaparkan dalam Kutuan Sembilan Setan.

Sementara itu, pengarah filem ini iaitu Arie Aziz pula berkata Kutukan Sembilan Setan bukan sekadar filem seram semata-mata.

Filem ini juga turut menyelitkan eleman percintaan dan persahabatan serta memaparkan visual keindahan gunung Bromo itu sendiri.

"Gandingan barisan pelakon juga begitu mantap dan serasi antara satu sama lain.

"Cumanya sepanjang penggambaran kami berhadapan cabaran apabila keadaan cuaca yang tidak menentu,” ujarnya.

kutukan setan 1

Antara babak seram dalam filem ini.

Filem yang diedarkan oleh syarikat D’ Ayu Pictures untuk pasaran di Malaysia akan memulakan tayangan di hampir 50 pawagam terpilih mulai Khamis 26 Oktober ini.

Pemilik D’ Ayu Pictures iaitu Datuk Rosmar Ayu Mokhtar berkata pihaknya berminat mengedarkan filem Kutukan Sembilan Setan kerana ia mempunyai elemen seram yang menepati citarasa penonton di Malaysia.

Jelasnya, dia melihat potensi filem tersebut memandangkan terdapat beberapa lagi syarikat pengedaran berminat untuk membawa masuk ke Malaysia.

"Tidak dinafikan ada beberapa syarikat pengedar lain dari Malaysia yang berminat dengan filem ini, namun rezeki filem ini jatuh ke tangan saya.

"Apabila menjadi rebutan pengedar, ia bermaksud filem ini mempunyai potensi yang tinggi, malah tayangan di Indonesia juga mendapat sambutan sehingga 250,000 penonton," katanya kepada mStar.

Kutukan Sembilan Setan ini dibintangi barisan pelakon seperti Ajil Ditto, Denira Wiraguna, Frislly Herlind, Fandy Christian, Joshua Suherman, Fadhan Holao, Eric van loo, Sabina Bayramova, Fahira Almira, Brooklyn R, Gerald Krechoff, Egi, Fedly, Eistevanya Alexandra, Aisha Ali, Irna Jufe dan Zenia Zein.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain