suria

‘Rain Town’ wakil Malaysia ke festival filem di China, masuk panggung tempatan 8 Feb 2024

Filem Rain Town bakal ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa.

FILEM berbahasa Kantonis Rain Town melakar kejayaan apabila terpilih mewakili Malaysia di Festival Filem Antarabangsa Silk Road ke-10 (SRIFF) yang berlangsung di Fuzhou, China bermula 23 hingga 27 September ini.

Pengarahnya, Tunku Mona Riza berkata, ia merupakan satu penghormatan apabila filem kedua arahannya itu mendapat perhatian pihak luar dan berpeluang untuk ditayangkan di sebuah festival berprestij di luar negara.

"Sudah tentu ini merupakan peluang masyarakat luar dapat lebih mengenali Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya dengan lebih dekat menerusi tayangan filem Rain Town di SRIFF.

"Apatah lagi, SRIFF merupakan antara salah sebuah festival filem yang agak besar di China dan saya harap Rain Town dapat memikat penonton di negara tersebut,” katanya.

Filem 1

Filem itu mengisahkan tentang perjuangan dan konflik sebuah keluarga.

Rain Town merupakan filem terbitan syarikat produksi Current Pictures Sdn Bhd yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Hew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Dalam pada itu, Tunku Mona memberitahu inspirasi menghasilkan filem berbahasa Kantonis kerana bercitrakan keunikan dan keindahan pelbagai bangsa serta budaya di Malaysia.

"Saya membikin filem ini kerana ingin rakyat Malaysia sedar bahawa sebagai sebuah negara berbilang kaum yang harmoni, perlu ada pelbagai cerita budaya yang terdapat di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Cita-cita hasil filem terbitan sendiri tercapai... ‘Doh’ bukti Syafiq Kyle serius dalam bidang seni

ARTIKEL BERKAITAN: Impian Hafiz Nafiah jadi pengarah akhirnya tercapai, tampil filem pertama berjudul ‘Mat Kola’

"Sebagai pengarah saya harap Rain Town dapat menarik minat semua kaum di Malaysia untuk menonton filem ini apabila ditayangkan kelak.

"Saya juga berharap ia membuka dan memberi inspirasi kepada pengarah dan penerbit tempatan lain untuk menghasilkan filem silang budaya dan bahasa yang menggambarkan masyarakat Malaysia," ujarnya.

Tambahnya, ia turut bersesuaian dengan inisiatif China's Silk Road Filem Bridge Project yang menganjurkan SRIFF bagi menggalakkan pertukaran budaya dan kerjasama strategik antarabangsa melalui pembangunan industri audio visual negara berkenaan.

Filem 2

Filem itu juga menonjolkan pelbagai emosi dalam hubungan kekeluargaan.

Tayangan perdana dunia Rain Town akan menyaksikan garapan seni kreatif pengarah berkenaan yang sebelum ini telah banyak memenangi anugerah di festival antarabangsa dan tempatan melalui filem Redha.

Filem itu mengisahkan tentang perjuangan dan konflik sebuah keluarga berhadapan dengan pelbagai konflik yang menimpa mereka serta selain menonjolkan pelbagai emosi dalam hubungan kekeluargaan.

Rain Town akan menemui penonton di pawagam Malaysia pada 8 Februari 2024.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain