PENYANYI Zehra Zambri menjelaskan keputusan bercerai secara ‘fast track’ bukan keputusan sebelah pihak sebaliknya atas persetujuan bersama suaminya iaitu Nur Mohd Iqwan Samsudin.
Zehra, 37, bagaimanapun meluahkan rasa hairan apabila Iqwan seolah-olah sengaja memanjangkan proses penceraian mereka termasuk mahu memfailkan nusyuz terhadapnya.
“Keputusan untuk berpisah secara 'fast track' telah pun dibincangkan dan dia pun tahu. Kami sudah bersetuju, bukan saya buat keputusan sesuka hati.
“Sepatutnya boleh diselesaikan secara 'fast track' tetapi dia mengambil tindakan memanjangkan kes, jadi saya ikut sahaja. Kalau dia nak fail nusyuz pun silakan," katanya kepada mStar.
Zehra reda jika suami memfailkan nusyuz.
Zehra berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis sidang media Raya Astro 2025 yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Dia bagaimanapun enggan mendedahkan punca sebenar dia dan suami memilih untuk bercerai.
Bagaimanapun Zehra menegaskan keputusan tersebut dibuat bukan disebabkan dia menyertai program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) seperti disangka sesetengah pihak.
"Kami ingin bercerai bukan kerana saya sertai GV… Sebab dan punca ingin berpisah biarlah kami sahaja yang tahu. Isunya sangat peribadi.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Zehra Zambri mahu cerai ‘fast track’, suami pula nak fail nusyuz selamat rumah tangga
ARTIKEL BERKAITAN: Zehra Zambri sedang dirawat di hospital, pilih diam elak buka aib rumah tangga
"Saya sehabis baik menutup aib rumah tangga, tidak perlu kongsi kepada umum kerana akan timbul pelbagai spekulasi buruk. Saya hanya akan kongsikan segalanya di mahkamah," luahnya.
Zehra sebaliknya memberitahu dia sudah penat bertahan dan menyelamatkan perkahwinannya yang dibina.
Jelasnya hanya keluarga terdekat mengetahui punca sebenar dia membuat keputusan mahu bercerai.
Sepatutnya boleh diselesaikan secara 'fast track' tetapi dia mengambil tindakan memanjangkan kes.
ZEHRA ZAMBRI
PENYANYI
"Orang luar tidak tahu apa saya lalui, teruskanlah buat tohmahan dan fitnah saya. Keluarga saya tahu apa saya alami.
"Saya sudah berkorban selama tiga tahun untuk rumah tangga, saya sudah berikan segala-galanya dan dia tahu itu.
"Saya sekarang ingin menjaga kesihatan mental dan mahu fokus kepada perkara baik-baik sahaja serta anak yang masih kecil," katanya.
Zehra dan Iqwan bernikah pada November 2021.
Pada Februari lalu, Iqwan, 47, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi kerana bercadang memfailkan nusyuz terhadap Zehra sebagai salah satu usaha menyelamatkan rumah tangga mereka.
Ia susulan, Zehra didakwa mahu memfailkan cerai terhadap Iqwan tanpa sebarang sebab jelas memandangkan hubungan mereka tiada sebarang masalah.
Untuk rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia tiga tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017 namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!