suria

Pameran rumah hantu untuk beri ilmu tentang filem seram, FDAM sedia ‘telanjangkan’ Idham

Mat (kiri) nafi dakwaan Idham dan sedia untuk berdepan isu seleweng dana.

PRESIDEN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim menyangkal wujud sebarang penyelewengan berhubung sebuah projek bersempena Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) seperti didakwa Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Mat London, 73, berkata, dia juga bersedia memberi kerjasama jika kes tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa memandangkan FDAM tahu kebenaran di sebalik fitnah yang dilemparkan terhadap persatuan tersebut.

"Kalau dia (Idham) nak buat laporan polis, baguslah! Dia pun banyak kes sebelum ini, biar kita 'telanjangkan' dia," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.

mat london 2

Perkongsian Idham yang mendakwa wujud penyelewengan dana.

Isu penyelewengan tersebut timbul apabila Idham yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan filem Nasional (Finas) dan bekas ahli perbadanan agensi itu Datuk Seri Eizlan Yusof mendakwa FDAM menyalahguna kuasa bagi menjalankan projek Pameran Hantu Filem bersempena FFM32 yang diadakan di Melaka pada 29 November hingga 1 Disember lalu.

Idham mendakwa terdapat ahli lembaga Finas menggunakan kedudukan untuk kepentingan persatuan selain wujud conflict of interest.

Untuk rekod, Mat London ialah antara artis yang dilantik sebagai ahli lembaga agensi perfilemen berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: FDAM ambil tindakan syarikat produksi dan stesen TV tak benar penggiat seni keluar mengundi

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Spilt Gravy’ Filem Terbaik FFM32 raih 7 anugerah, ketepikan Mat Kilau

Berikutan itu, Idham menuntut Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa memberi penjelasan bagaimana ahli lembaga pengarah Finas boleh mendapat kontrak menganjurkan pameran tersebut yang didakwa menelan belanja RM40,000.

Dalam pada itu, Mat London berkata, dana yang diberikan digunakan sebaik mungkin tanpa wujud sebarang keraguan memandangkan ini bukan kali pertama acara sedemikian diadakan.

"Tak wujud sebarang isu penyelewengan kuasa atau duit. Pameran tersebut dibuat dengan menggunakan dana dengan betul malah persatuan lain turut diberi tanggungjawab menjalankan program bersempena FFM32.

Dia pun banyak kes sebelum ini, biar kita 'telanjangkan' dia

DR AHMAD IBRAHIM

PRESIDEN FDAM

"Malah ini bukan kali pertama kita buat acara sebegini," jelasnya.

Tambah Mat London, projek tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh Timbalan Presiden FDAM iaitu Datuk Zulkeflie M. Osman.

Mat London turut menyangkal dakwaan Idham yang mengatakan projek tersebut gagal dan tapak pameran yang dibuka di Encore Theatre, Melaka dirobohkan.

mat london 1

Mat London berkongsi gambar pameran rumah hantu berjalan dengan baik.

"Pameran itu diuruskan sepenuhnya oleh Zulkeflie, tidak ada kena mengena dengan saya.

"Apa yang boleh saya katakan, ia berjalan dengan baik dan ramai pengunjung yang hadir. Pameran ini secara tak langsung memberi ilmu kepada orang ramai tentang pembikinan filem seram di Malaysia," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain