suria

Aksi Meerqeen cium dahi pelawak Indonesia jadi perhatian, rupanya ada kisah sedih di sebalik perkongsian video Kiky Saputri

Aksi mesra di antara Meerqeen dan pelawak popular Indonesia menjadi perhatian.

BELUM reda isu memeluk seorang peminat wanita ketika kunjungan ke Jakarta, Indonesia baru-baru ini, pelakon Meerqeen sekali lagi menjadi perhatian apabila muncul pula video memperlihatkan dia mencium dahi pelawak popular, Kiky Saputri.

Video berkenaan dimuat naik oleh pelawak berkenaan di Instagram, Kiky turut membalas ciuman itu dengan mencium bahagian pipi Merqeen sebelum meletakkan mukanya ke bahu pelakon itu.

Bagaimanapun, Kiky memuat naik video berkenaan sebagai respons kepada Youtuber dikenali sebagai Malindo Damai yang memperlekehkan Kiky sebagai seorang wanita yang tidak cantik.

"Tidak mengapa kalau tidak cantik, yang penting kamu sayang sama aku Meerqeen," tulis Kiky pada bahagian kapsyen video berkenaan.

Kiky Lentok

Kiky turut melentokkan wajahnya ke bahu Meerqeen.

Salah seorang pemilik akaun Malindo Damai yang dikenali sebagai Sunandar menerusi video bertajuk '5 Negeri Wanita Tercantik di Malaysia' menghina rupa paras Kiky dan membandingkan dengan kecantikan dimiliki aktres Janna Nick.

Rakannya yang turut muncul dalam video berkenaan iaitu Ian menyangkal kenyataan tersebut namun dia dikatakan memiliki selera rendah apabila mengatakan Kiky seorang wanita yang cantik.

ARTIKEL BERKAITAN: Video dipeluk wanita tular, peminat Indonesia beri penjelasan sudah minta izin... Meerqeen dinasihatkan jaga batasan

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan suka-suka pegang, isteri orang tu” - Aksi spontan Ahmad Dhani pegang bahu Fazura undang kecaman

"Selera kamu rendah. Kiky nak dibandingkan dengan Janna Nick terlalu jauh," katanya.

Ian bagaimanapun membantah pandangan rakannya itu dengan mengatakan setiap wanita dilahirkan cantik.

Malindo Damai

Kiky menghasilkan video bersama Meerqeen selepas dihina sebagai tidak cantik oleh Youtuber menggunakan nama Malindo Damai.

Perkara itu turut mendapat reaksi rakan selebriti termasuk bekas peserta program Gegar Vaganza, Upiak Isil yang terkilan apabila masih ada orang yang melihat kecantikan fizikal selain meminta Youtuber itu cermin diri sebelum berkata-kata.

"Mengata wanita tak cantik, melihat orang daripada fizikal. Sementara fizikal sendiri berantakan. Ada duit tak? Lelaki zaman sekarang banyak yang lupa cermin diri sendiri," tulisnya.

Sementara itu, Youtuber berkenaan sudah memadam video berkenaan daripada saluran YouTube miliknya selain membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Kiky.

Sunandar memberitahu tiada niat untuk merendah-rendahkan Kiky dan golongan wanita dan menyedari tindakannya itu salah.

Malindo Damai Minta Maaf

Sunandar turut memohon maaf kepada Kiky menerusi sebuah video di saluran YouTube miliknya.

"Sejak semalam Ian tegur tindakan saya itu tidak baik merendah-rendahkan wanita dan memang nak padam video berkenaan.

"Saya harap Kiky memaafkan saya dan tidak memanjangkan isu tersebut," katanya.

Meerqeen dan Anna Jobling berada di Jakarta selama empat hari bagi bertemu peminat ekoran drama lakonan mereka Melur Untuk Firdaus yang menjadi fenomena di negara berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain