suria

[VIDEO] Semua lagu trending, Aliff Syukri ‘confident’ diri penyanyi nombor satu... Sempat ulas mengenai tipu ubat

USAHAWAN kontroversi Datuk Seri Aliff Syukri melabelkan dirinya sebagai penyanyi nombor satu negara memandangkan setiap lagu yang pernah dikeluarkan berjaya mendapat kedudukan nombor satu dalam carta trending di YouTube.

Aliff berkata, meskipun sering menjadi sasaran kebencian dan kecaman netizen, namun angka di YouTube tidak dapat ditipu malah lagu terbaharunya Baby Sayang trending dalam tempoh beberapa jam ia dilancarkan.

"Semua lagu saya trending di YouTube. Semuanya nombor satu tanpa saya perlu bayar kepada pihak YouTube. Sebab itu saya berani kata saya penyanyi nombor satu.

"Kalau ada yang kata saya buat marketing, lihat sendiri video muzik saya. Tidak ada satu pun saya buat product placement di situ," katanya kepada mStar.

Aliff ditemui dalam satu sesi bersama media yang berlangsung di Kota Damansara pada petang Khamis.

aliff 101

Lagu duet terbaharu Aliff dan Baby Shima kini trending di YouTube.

Minggu lalu, Aliff menerima kecaman hebat netizen selepas dia memuat naik video teaser lagu tersebut yang memperlihatkan aksi gelek bersama penyanyi Baby Shima.

Terkesan dengan semua kritikan, Aliff kemudiannya membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada menggunakan media sosial dan bertindak memadam semua perkongsian di Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu sumpah seranah nampak Aliff Syukri muncul di IG, hidup jadi tak aman... “Kau nak mak mati sebab tidak tahan fitnah”

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia tengah bodohkan satu Malaysia!” - Individu ‘pecah lubang’ Aliff Syukri guna gambar pil miliknya

Bagaimanapun seperti dijangka, Aliff kembali aktif di media sosial selepas empat hari 'bersara' bagi mempromosikan lagu tersebut dengan memuat naik video teaser dia menari dengan sebatang mop.

Dalam pada itu, Aliff menegaskan tujuan dia tampil dengan lagu Baby Sayang bukan untuk mencipta kontroversi tetapi sekadar hobi dan menggembirakan hati peminat.

Tidak hanya itu, Aliff berkata dia turut yakin dengan bakat nyanyiannya malah mendedahkan pernah menerima tawaran untuk merakamkan lagu daripada beberapa syarikat rakaman.

Kenapalah orang tidak boleh terima saya sebagai seorang artis.

DATUK SERI ALIFF SYUKRI

USAHAWAN

"Saya tahu saya ada bakat sehinggakan pernah menerima tawaran untuk merakamkan lagu daripada beberapa syarikat rakaman namun saya bukan nak jadi penyanyi.

"Lagu-lagu yang saya buat sebelum ini pun hanya hobi sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Aliff berkata dia sudah buntu apabila masyarakat sering mencari kesalahannya sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata tidak baik terhadapnya.

"Sebenarnya saya tak tahu nak buat macam mana dah. Ada sahaja orang nak kecam semua tindakan. Saya sendiri tak tahu apa salah saya.

"Kenapalah orang tidak boleh terima saya sebagai seorang artis. Saya sama juga seperti penyanyi lain. Apa kurangnya?

aliff 102

Ramai mengecam Aliff termasuk golongan selebriti yang menyifatkan dia merosakkan industri.

"Apabila usia semakin mencecah 40 tahun ini ada ketika rasa rindu nak tunjukkan bakat. Tambahan pula ramai juga yang memuji membuatkan saya rasa seronok nak menyanyi," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Aliff turut menjelaskan mengenai isu kononnya dia menipu orang ramai dengan mengakui mengalami masalah mental seperti dalam video permohonan maaf sebelum ini.

Jelas Aliff, sebelum ini dia memang pernah mengambil ubat-ubatan tetapi mengalami kesan sampingan kesihatan mental dan mengambil keputusan untuk berhenti mengambil pil berkenaan.

Akuinya, dia kini 100 peratus normal dan berada dalam keadaan waras dan tindakannya memuat naik gambar pil itu kerana tertekan.

"Saya normal dan waras, ketika buat video mohon maaf itu saya nak cepat apatah lagi saya dalam keadaan tertekan kerana dimarahi ibu dan isteri ekoran video saya sudah tular dan mendapat kecaman netizen.

"Jadi saya kongsikan sahaja gambar pil berkenaan bagi meluahkan rasa kecewa," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain