suria

Tak takut dengan Siti Nordiana, peguam dua defendan siap sedia lawan di mahkamah - “Mereka berada di sisi kebenaran”

Sam Samin dan Aida G tak gentar berdepan saman fitnah Siti Nordiana.

JUMPA di mahkamah!

Dua daripada lima defendan bagi kes saman fitnah Siti Nordiana iaitu Pegawai Perhubungan Awam FMC, Sam Samin dan jurusolek, Razidah Ahmad Senusi atau Aida G, sekali lagi menegaskan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap penyanyi berkenaan.

Menurut peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli yang mewakili mereka, penegasan itu menjadi asas kepada penyataan pembelaan yang difailkan pihaknya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami berpendapat ada pembelaan yang baik” - Peguam dua defendan kes saman fitnah Siti Nordiana kaji fakta kes, tak tolak idea selesai luar mahkamah

"Secara ringkasnya, berdasarkan pembelaan yang dimasukkan, pihak defendan keempat dan kelima percaya kes ini adalah tidak wajar diteruskan kerana kata-kata yang diadukan Siti Nordiana tidak berbaur fitnah.

"Dakwaan fitnah yang dibuat oleh Siti Nordiana terhadap anak-anak guam adalah disangkal," katanya menerusi satu kenyataan media kepada mStar.

Dalam pada itu, Nurul Hafidzah daripada Tetuan Nurul Hafidzah and Associates ini berkata anak guamnya tidak gentar untuk berdepan dengan pihak plaintif dalam mencari kebenaran berhubung isu ini.

syura nana

Siti Nordiana menuntut ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada lima sekawan.

Ini kerana dia yakin tiada sebarang elemen fitnah dalam kenyataan atau percakapan anak-anak guamnya.

"Defendan-defendan tidak takut kerana mereka berada di sisi kebenaran.

"Pihak defendan akan berjumpa pihak Siti Nordiana di mahkamah dan barisan peguam kami akan memberikan yang terbaik untuk membela nasib defendan-defendan semasa perbicaraan," katanya.

Defendan-defendan tidak takut kerana mereka berada di sisi kebenaran!

NURUL HAFIDZAH HASSAN

PEGUAM

Sebelum ini, Nurul Hafidzah memberitahu kenyataan daripada pihak plaintif bahawa anak-anak guamnya berkemungkinan muflis sekiranya gagal untuk memasukkan kehadiran beserta pernyataan pembelaan selewat-lewatnya pada 17 Ogos lalu adalah kenyataan yang salah dan tidak tepat.

Malah, kedua-dua anak guamnya turut menyangkal dakwaan mereka telah memfitnah plaintif dan malah tidak berhak menuntut sebarang pampasan atau ganti rugi ke atas pihak defendan.

Pihak defendan percaya bahawa semua dakwaan Siti Nordiana adalah tidak berasas dan tiada sebarang kenyataan atau percakapan yang dilakukan dengan niat jahat untuk mencemarkan nama baik plaintif, memfitnah atau memusnahkan reputasi plaintif.

syura nana 2

Nurul Hafidzah (kiri) mewakili Sam Samin dan Aida G, manakala Alan Razak pula mewakili Syura, Lan Solo serta isteri.

Sebelum ini mStar melaporkan tiga lagi defendan bagi kes sama iaitu Syura Badron, Lan Solo dan isterinya, Sheila Hassim diwakili peguam Muhammad Hafiz Hood dan Alan Razak.

Kelima-lima defendan terbabit dituntut membuat permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 setiap seorang.

Selain itu Siti Nordiana juga menuntut ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan menerusi penyataan tuntutan tersebut.

Untuk rekod, kontroversi tercetus selepas penyanyi Lan Solo dan Syura membuat pendedahan mengejutkan berkaitan konflik yang berlaku antara mereka dengan Siti Nordiana menerusi sesi Instagram live pada 20 Julai lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain