Chacha Maembong buat laporan polis selepas dikaitkan dengan aktiviti pelacuran kelas atasan dan Macau Scam

Chacha menafikan dirinya terlibat dengan isu Macau Scam dan aktiviti pelacuran.

PELAKON Chacha Maembong membuat laporan polis terhadap individu yang menyebarkan fitnah dengan mendakwa dirinya terlibat dengan kes Macau Scam aktiviti pelacuran pada Selasa lalu.

Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail, 24, berkata tujuan dia mengambil tindakan tersebut untuk menghentikan penyebaran fitnah yang menjejaskan reputasinya sebagai selebriti.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara foto bersama, Chacha Maembong berang dituduh kawan baik suspek cuci duit haram - “Sumber dana bisnes saya hasil titik peluh sendiri!”

Menurut Chacha, dia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan atas kes tersebut.



Chacha memuat naik laporan polis yang dibuat di laman Instagram miliknya pada Khamis.

"Tujuan laporan ini adalah bertujuan untuk memberhentikan dan menafikan segala fitnah yang berleluasa tentang saya berkenaan isu Macau Scam dan juga tuduhan aktiviti pelacuran.

"Saya juga akan bekerjasama dengan pihak SPRM dan pihak Polis jika dipanggil untuk memberikan kerjasama.

"Saya juga akan mengambil tindakan kepada individu yang telah memfitnah dan menyebarkan tuduhan tersebut," kata Chacha.

Saya tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga siasatan dari pihak polis selesai.

CHACHA MAEMBONG

PELAKON

Adik kepada pelakon Emma Membong itu turut memuat naik video yang paparan skrin laporan polis yang dibuat di Balai Polis Seremban, Negeri Sembilan.

Chacha menerusi laporan itu mendakwa seorang individu meninggalkan komen berbaur fitnah yang mengaitkan dirinya dengan isu penggubah wang haram dan aktiviti pelacuran kelas atasan.

Sebelum ini, Chacha menafikan dakwaan bahawa dia memperolehi dana untuk perniagaannya dari individu berstatus 'Datuk' yang sedang disiasat SPRM.



Foto Chacha bersama individu yang disiasat SPRM menjadi tular.

Menerusi laporan mStar pada 17 Oktober lalu, Chacha berkata dia menerima kecaman akibat daripada fitnah dan kenyataan palsu yang dibuat beberapa individu sehingga menjejaskan reputasinya.

Dalam pada itu, pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan ini memberitahu dia tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai isu tersebut sehingga siasatan polis terhadap kes itu selesai.

"Tindakan susulan dari pihak guaman akan dijalankan, laporan kes ini kini dalam siasatan, saya tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga siasatan dari pihak polis selesai. Sekian terima kasih," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain