suria

Bella Dally tak langgar PKPB, nafi ditahan polis - “Kami masih berada dalam Selangor, tak rentas dua negeri”

Bella menjelaskan dia sudah memberi keterangan kepada pihak polis pada Selasa.

PELAKON Bella Dally mengaku dia dan beberapa rakannya melakukan aktiviti berbasikal berhampiran Hutan Lipur Sungai Tua berdekatan sempadan negeri Selangor dan Pahang pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, 29, menjelaskan mereka berbasikal dalam kawasan Selangor dan tidak mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa di negeri itu termasuk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan seperti didakwa.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB: Hanya 10 peratus pekerja tertentu dibenar hadir ke pejabat

"Saya mengambil maklum laporan media termasuk yang tular di media sosial berkaitan dakwaan saya mengingkari PKPB yang sedang berkuatkuasa di Selangor ketika ini.

"Untuk maklumat, saya telah selesai memberi keterangan dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Bella hanya mengayuh basikal dalam kawasan Selangor.

Menjelaskan lebih terperinci apa yang berlaku, Bella berkata, kesilapan pada kapsyen yang dimuat naik bersama foto berbasikal di Instagram telah menimbulkan kekeliruan seolah-olah dia dan rakan-rakannya melanggar PKPB yang dilaksanakan.

"Apa yang berlaku Ahad lalu saya dan seorang rakan melakukan aktiviti riadah berbasikal di sekitar daerah Gombak, Selangor berhampiran Hutan Lipur Sungai Tua yang berdekatan dengan sempadan antara negeri Selangor dan Pahang.

"Satu gambar telah dimuat naik ke Instagram saya dengan kapsyen 'Woohoo Genting Sempah with...' dan ia telah menimbulkan kekeliruan sehingga ada yang mendakwa saya telah merentasi antara dua negeri dan melanggar PKPB.

"Saya ambil maklum kekeliruan yang berlaku namun perlu saya jelaskan kami masih berada dalam negeri Selangor dan tidak merentasi sempadan antara dua negeri.

"Jika saya berada di sempadan negeri, sudah tentu ada papan tanda dan garis sempadan antara Selangor dan Pahang untuk rujukan" katanya.

Apapun saya mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan memohon maaf atas kekeliruan.

BELLA DALLY

PELAKON

Pelakon drama Adellea Sophia ini berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu bagi menjelaskan laporan dia ditahan bagi membantu siasatan atas tindakannya mengayuh basikal ke Genting Sempah, Bentong di Pahang pada Ahad lalu.

Justeru itu, Bella berkata, dia sudah memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada Selasa dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Bella memohon maaf atas kekeliruan yang ditimbulkannya.

Menerusi laporan sebuah portal, Bella ditahan selepas memuat naik satu perkongsian foto memaparkan dia bersama rakannya sedang berbasikal.

Sementara itu, Bella turut memohon maaf dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku.

"Apapun saya mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul ekoran daripada posting di Instagram saya tempoh hari," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain