Gara-gara foto bersama, Chacha Maembong berang dituduh kawan baik suspek cuci duit haram - “Sumber dana bisnes saya hasil titik peluh sendiri!”

Foto Chacha bersama individu yang disiasat SPRM menjadi tular.

PELAKON Chacha Maembong menafikan dakwaan bahawa dia memperolehi dana untuk perniagaannya dari individu berstatus 'Datuk' yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Chacha atau Siti Aisyah Ismail, 24, dia menerima kecaman akibat daripada fitnah dan kenyataan palsu yang dibuat beberapa individu sehingga menjejaskan reputasinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulin Aziz tak tahu latar belakang suspek cuci duit haram, netizen buat spekulasi berdasarkan gambar percutian Itali

"Saya diberitahu bahawa terdapat beberapa individu dalam laman sosial telah mengeluarkan kenyataan fitnah dan tidak benar terhadap saya.

"Dikatakan saya memulakan perniagaan kononnya dana yang diperolehi daripada individu bergelar Datuk dan saya terlibat dalam aktiviti 'Macau scam' dan juga perjudian online.



Chacha membuat kenyataan menerusi laman Instagram miliknya.

"Akibat daripada kenyataan tersebut, saya menerima kecaman di media sosial dan ia menjejaskan reputasi saya serta perniagaan saya. Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah dan kenyataan palsu itu.

"Sebelum pembocoran Macau scam, saya tidak mengenai Datuk itu dan tidak pernah berjumpa atau berhubung dengan dia," kata Chacha menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram pada Sabtu.

Sebelum ini, foto Chacha bersama beberapa individu yang sedang disiasat SPRM atas tuduhan jenayah pengubahan wang haram atau 'Macau scam' yang dipercayai di sebuah kelab malam menjadi tular.

Selain Chacha, pelakon Zulin Aziz juga dikaitkan dengan beberapa individu tersebut selepas foto lama mereka bercuti menjadi perhatian.

Ia tiada kaitan dengan penglibatan dana atau modal dari sumber lain.

CHACHA MAEMBONG

PELAKON

Dalam pada itu, adik kepada pelakon Emma Maembong ini menegaskan foto yang menjadi tular di laman sosial itu diambil sekitar Januari 2017 dan hubungan mereka sekadar kenalan sahaja.

Jelas Chacha, produk keluarannya itu tidak mempunyai kaitan kes tersebut dan ia merupakan kerjasama dengan sebuah syarikat ternama di Malaysia dan Asia

"Saya juga ingin mengesahkan bahawa gambar yang telah tular di media sosial adalah gambar yang diambil sekitar Januari 2017 ketika pertama kali saya bertemu dengan 'Datin' itu sebagai kenalan dan bukanlah sebagai rakan karib.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa sumber dana perniagaan saya merupakan hasil daripada titik peluh saya. Untuk makluman, produk keluaran saya adalah kerjasama dengan sebuah syarikat ternama di Malaysia dan Asia.



Chacha bakal ambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah terhadapnya.

"Ia tiada kaitan dengan penglibatan dana atau modal dari sumber lain," ujarnya.

Sementara itu, Chacha berharap pihak yang bertanggungjawab berhenti menyebarkan fitnah dan kenyataan tidak benar mengenai perniagaannya itu dan memohon maaf secara bertulis kepadanya.

"Saya berharap orang-orang yang bertanggungjawab untuk menyebarkan kenyataan fitnah dan tidak benar akan berhenti serta-merta dan memohon maaf secara bertulis kepada saya.

"Dengan peguam yang mewakili saya, kami akan mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil seterusnya untuk mempertahankan hak saya dan saya tidak akan ragu-ragu untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu tersebut," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain