suria

“Saya pantang ada ustaz segera cemarkan imej Islam!” - Ridhuan Tee bengang pendakwah selebriti sengaja cipta kontroversi

Ridhuan Tee (kanan) bersama Zulkefli Hamat ketika membincangkan mengenai imej rancangan realiti pencarian pendakwah muda.

PENDAKWAH selebriti kelahiran rancangan realiti televisyen diminta menjaga adab dan perbuatan mereka agar tidak merosakkan imej institusi Islam.

Tegas pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, golongan berkenaan perlu sedar mengenai peranan besar mereka untuk mendidik masyarakat dan bukannya hanyut dalam dunia glamor.

"Kalau betul-betul kita boleh lahirkan ustaz segera dan dia menjadi (berwibawa), dia memang boleh jadi ikutan dan membentuk penonton.

"Tapi yang jadi masalahnya apabila mereka diketengahkan dia tidak dapat jaga diri. Saya pantang ada ustaz segera cemarkan imej Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ada cerita sendiri” - PU Abu mengaku cerai isteri sarat mengandung

ARTIKEL BERKAITAN: “Abang ceraikan sayang dengan talak satu” - Da’i Farhan mengaku cerai isteri pertama tapi nafi lakukan kekerasan

"Sesetengah golongan pendakwah tenggelam dalam dunia glamor malah terlibat dalam kontroversi sehingga merosakkan institusi agama sedangkan mereka pembawa imej seorang pendakwah," katanya.

Mohd Ridhuan berkata demikian ketika berhujah dalam program Analisis terbitan TV AlHijrah kendalian Finaz Yunus.

Finaz Yunus (Kiri) bersama barisan ahli panel dalam rancangan Analisis di TV AlHijrah.

Hadir sama sebagai panel dalam program yang bersiaran pada Rabu malam itu ialah penceramah Zulkefli Hamat dan bekas peserta program realiti, Mohd Zainudin Mohamed Zaini atau lebih dikenali dengan gelaran PU Yeop.

Ketiga-tiga panel membincangkan mengenai tajuk Ustaz Segera: Jejas Institusi Ilmu Islam?

Tambah Mohd Ridhuan, dia kesal apabila kes-kes terpencil membabitkan beberapa ustaz selebriti akhirnya membawa imej buruk kepada Islam dan program realiti agama yang bermatlamat melahirkan pendakwah muda.

"Prestasi mereka selepas menyertai program realiti ini bagi saya agak seimbang kerana ramai yang menjadi pendakwah hebat.

"Ada juga yang tenggelam dan ada juga yang menonjol kerana kontroversi yang dia buat sendiri.

"Sebagai ustaz anda kena jaga penampilan, jangan cerai isteri ketika mengandung... kalau nak cerai sangat buat diam-diam, jangan hebohkan," katanya.

Sesetengah golongan pendakwah tenggelam dalam dunia glamor malah terlibat dalam kontroversi sehingga merosakkan institusi agama.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

PENDAKWAH BEBAS

Sementara itu Zulkefli Hamat yang pernah terlibat sebagai tenaga pengajar dalam dua program pencarian pendakwah muda turut bersetuju dengan pandangan Mohd Ridhuan berhubung adab yang perlu dijaga oleh seseorang ilmuan agama.

"Si pelaku tak perlu cerita kepada orang secara terbuka... kesannya besar. Tapi jika sudah berlaku, diam-diam sudahlah kerana ia isu keluarga anda," katanya.

Berhubung persoalan sama ada program realiti agama di televisyen bagi mencari pendakwah muda wajar diteruskan atau tidak, Zulkefli yakin ia berupaya membawa manfaat kepada masyarakat.

"Beberapa penambahbaikan perlu dilakukan, stesen TV tidak boleh sendirian kerana perlu melibatkan pihak berkuasa agama bagi mengelakkan timbulnya isu kewibawaan," katanya.

Artikel Lain