suria

[V] Ramai salah faham, Baby Shima jelaskan maksud lagu ‘Masuk Lagi’... Lebih tenang ambil pendekatan berdiam diri

PENYANYI Baby Shima tampil bersuara berkaitan isu lirik lagu Masuk Lagi nyanyiannya yang dikatakan mengandungi maksud tidak senonoh.

Menjelaskan perkara tersebut, kata Shima atau Nor Ashima Ramli, mesej sebenar lagu itu bukan seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan salah faham. 

Tegasnya, video muzik lagu itu juga cukup jelas menerangkan maksud yang ingin disampaikan.

Shima nafi sengaja memilih lirik lucah dalam lirik lagu. 

"Sebenarnya lirik lagu itu menceritakan perjalanan ke rumah seseorang untuk masuk meminang. Tiada apa yang tidak senonoh pun.

"Jika tonton video muzik pasti tahu apa yang disampaikan," katanya kepada mStar.

Shima ditemui ketika majlis Santai Ramadan Bersama Media yang berlangsung di Tenera Hotel & Suites, Bandar Baru Bangi, Selangor pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Haiza tegur lagu ‘Masuk Lagi’, minta Baby Shima cari lirik lebih baik… “Jangan normalisasikan unsur lucah dalam lagu” 

ARTIKEL BERKAITAN: Baby Shima nasihat netizen fikir dulu sebelum komen, kes lelaki Sarawak kena denda gara-gara ugut bunuh jadi pengajaran

Mengambil pendekatan berdiam diri ketika lagu tersebut menerima kecaman, Shima berkata, langkah tersebut dibuat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh. 

Malah, dia juga tidak pernah terasa hati apabila ada dalam kalangan rakan artis yang turut meluahkan rasa kurang senang terhadap lirik lagu itu. 

"Kita tidak boleh menutup mulut orang. Mungkin setiap orang ada pandangan berbeza.

Jika tonton video muzik pasti tahu apa yang disampaikan

BABY SHIMA 

PENYANYI 

"Kalau saya bersuara ketika keadaan tengah 'panas', lagilah orang tidak suka. Jadi lebih baik berdiam," ujarnya.

Shima dalam masa sama memberitahu kecaman yang diterima membuatkannya lebih matang dan tidak mudah melatah. 

Shima juga akan lebih berhati-hati dalam pemilihan lagu serta lirik agar tidak lagi menimbulkan salah faham.

Lagu Masuk Lagi mendapat kecaman banyak pihak. 

"Selepas ini akan banyak lagi lagu saya. Pemilihan lagu seperti biasa, jika saya rasa okay maka akan diteruskan.

"Cuma untuk tahun 2026 saya akan berikan lagu yang liriknya mudah difahami secara terus," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain