suria

Komen negatif tiada kesan buat Umairah, sudah dilatih jadi kuat sejak kecil

Umairah terhibur baca komen netizen di media sosial.

PENYANYI Umairah tidak mudah terkesan dengan komen berbaur negatif terhadapnya di media sosial.

Sebaliknya kata Umairah atau Ummi Umairah, 14, dia sudah dilatih menjadi seorang yang kuat memandangkan sudah terdedah dengan dunia seni sejak kecil. 

“Biasalah mulut orang tak boleh nak ditutup. Tapi bila lama-lama dah latih diri, hati kita bila baca (komen) jadi seronok.

“Saya suka baca komen dan ambilnya sebagai kata-kata semangat dan tak fikir negatif walaupun ia berbaur kecaman,” katanya kepada mStar. 

Umairah mengambil positif dengan setiap komen yang diberikan netizen.

Umairah mengambil positif dengan setiap komen yang diberikan netizen.

Umairah berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharu penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Raya Nak Ke Mana? pada Rabu.

Ditanya komen paling teruk pernah diterima, Umairah memberitahu netizen suka menuduhnya cuba meniru cara nyanyian Siti yang juga ibu saudaranya. 

Jelas Umairah, dia tiada berniat menyanyi seperti Siti namun ikatan persaudaraan menjadi faktor kepada persamaan tersebut. 

"Saya awal-awal nyanyi pun orang kata saya tiru Mak Iti (panggilan Siti), saya jadi penyanyi juga sebab Mak Iti. Tapi mereka (netizen) sebenarnya tidak tahu Mak Iti memang selalu memberikan sokongan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak saudara Siti Nurhaliza harumkan nama negara, Umai menang pingat emas di WCOPA

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza nampak bakat luar biasa Umai sejak kecil, pesan anak saudara jangan abai pelajaran

"Bukan saya nak tiru, tapi nak buat macam mana sudah darah daging. Lenggok alunan suara kami tidaklah 100 peratus sama," ujarnya. 

Umairah bagaimanapun memberitahu dia tidak terkesan dengan komen-komen negatif dilemparkan netizen kerana mendapat semangat dan kekuatan daripada anggota keluarga. 

Kata Umairah, ibunya iaitu penyanyi Siti Saerah selalu menitipkan pesan agar tidak mengambil pusing terhadap kecaman yang diterima.

"Saya ini degil juga dan tetap nak baca komen-komen netizen. Jadi, semakin lama saya semakin okay dan kuat,” katanya.

Umairah muncul dengan single baharu berjudul Tak Balik Raya.

Umairah muncul dengan single baharu berjudul Tak Balik Raya.

Dalam perkembangan lain, Umairah meluahkan rasa syukur apabila single pertamanya berjudul Tak Balik Raya sudah pun dilancarkan. 

Menurut Umairah, dia tidak berdepan kesukaran merakamkan lagu tersebut malah hanya mengambil masa selama 30 minit menyelesaikan rakaman. 

"Saya rasa terharu kerana untuk lagu pertama ini saya mendapat sokongan positif daripada semua.

“Ini secara tidak langsung membuatkan saya lebih bersemangat untuk merakamkan lebih banyak lagu baru," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain