suria

Pernah rasai perit kehilangan anak, Nora doa ibu Nabil Mentor reda dan tabah

Nora merasa kehilangan atas pemergian Nabil.

PENYANYI Datuk Nora Ariffin dapat menyelami kesakitan ditanggung ibu penyanyi dan pelakon Nabil Zamanhuri yang meninggal dunia pada pagi Ahad.

Nora atau Wan Norafizah Wan Ariffin, 50, berkata, bukan mudah seorang ibu berdepan hakikat pemergian anak tersayang dan memahami perasaan tersebut kerana pernah kehilangan anak lelakinya iaitu Muhammad Syakir Aliff pada 2019.

"Saya tahu bukan mudah kehilangan seorang anak tetapi Allah lebih sayangkan dia dan saya doa ibunya tabah dan reda.

"Mengenali arwah, dia seorang yang periang dan selalu sibuk dengan kerja-kerjanya. Arwah mengingatkan saya pada anak saya, dia dulu pun macam itu juga.

Nora sudah menganggap Nabil seperti seorang anak.

Nora memahami perasaan ibu Nabil yang kehilangan anak lelakinya.

“Kalau tengok ramai kawan-kawan dan saudara mara yang hadir sebab semua sayangkan dia,” katanya kepada mStar.

Nora berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas selesai proses pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor pada petang Ahad.

Dalam pada itu, Nora memberitahu terkejut selepas mendapat panggilan telefon memaklumkan penyanyi lagu Kenangan Lama itu sudah meninggal dunia.

Kongsi Nora, kali terakhir mereka bertemu adalah pada sambutan Aidilfitri pada April lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabil Mentor alami kekejangan selepas solat Subuh, keluarga masih menanti hasil bedah siasat

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan jantung punca kematian Nabil Mentor, ibu kongsi arwah ada mengadu rasa tak sihat

"Bila dapat panggilan memaklumkan Nabil meninggal dunia, saya macam tak percaya sampai saya telefon keluarga terdekat untuk dapatkan kepastian.

"Memang mengejutkan sebab kami baru bertemu pada Aidilfitri lalu," ujarnya.

Hubungan erat mereka terjalin apabila arwah pernah bergelar protoge Nora menerusi program Mentor musim pertama pada 2005.

Mengimbau kenangan bersama Nabil, Nora menyifatkan penyanyi itu sebagai disenangi ramai dan mudah bekerjasama.

Saya tahu bukan mudah kehilangan seorang anak tetapi Allah lebih sayangkan dia.

DATUK NORA ARIFFIN

PENYANYI

"Nabil sangat manis orangnya... Masa dia bergelar protoge saya, tak rasa macam sedang bekerja.

"Saya memang anggap dia sebagai anak sendiri dan rasa bangga dengan semua kejayaannya.

"Bila tatap wajah arwah pun senyum sahaja dia. Sedih tapi dalam masa sama saya tahu Allah lebih menyayanginya," katanya.

Pada pagi Ahad, Nabil menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Hospital Ampang untuk bedah siasat.

Nabil meninggal dunia akibat serangan jantung.

Nabil meninggal dunia akibat serangan jantung.

Jenazah kemudiannya dibawa ke masjid di Ukay Perdana, Hulu Klang untuk dimandikan dan disolatkan.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang pada pukul 6.20 petang.

Lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis dan kenalan terdekat hadir bagi memberi penghormatan terakhir termasuk Nabil Ahmad, Ubai dan Alif Satar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Adelia Citra Hapsari dan dua orang cahaya mata perempuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain