suria

Konsert ‘Cipta’ hadiah buat peminat, M. Nasir kongsi perjalanan 45 tahun sebagai anak seni

M. Nasir bakal menyanyikan 40 buah lagu hasil karyanya di konsert penyanyi itu nanti.

PENYANYI dan komposer Datuk M. Nasir pernah terfikir untuk menamatkan karier seni ketika namanya berada di puncak sekitar 30 tahun lalu.

Nasir, 67, berkata, ketika itu dia mempunyai perasaan berkenaan kerana merasakan industri muzik tempatan tidak mencapai jangkaan seperti diharapkan.

"Ada juga rasa putus asa, selalunya bila buat sesuatu tapi tak jadi ataupun saya melihat dunia hiburan tidak sampai apa yang saya harapkan.

size NP 1 - 2024-05-25T162333.274

M. Nasir adakan konsert sempena pembabitannya selama 45 tahun dalam industri.

"Industri membesar tak cantik sangat, hormat orang pada kita pun kurang. Ia berlaku pada pertengahan karier saya pada tahun 90-an.

"Dari segi bentuk kita belum jadi, kita banyak bakat tapi tak sampai lagi jangkaan saya itu," katanya kepada mStar.

Nasir berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Dato' M. N45ir Cipta di Dadi Cinema, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Nasir menyifatkan semua cabaran dilalui sebagai anak seni sepanjang 40 tahun adalah perkara menyoronokkan dan meninggalkan pelbagai memori manis kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: M. Nasir tak terfikir nak bersara, rasa susah hidup tanpa berkarya

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya impian tercapai, Naqiu terkejut M Nasir dah lama tunggu nak cipta lagu buatnya

Semua perkara itu juga bakal dizahirkan menerusi Konsert Dato' M. N45ir Cipta yang bakal berlangsung pada 10 Ogos depan di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Kongsi Nasir, menerusi konsert itu nanti dia bakal menyanyikan 40 buah bagi mengimbau kembali perjalanan 45 tahun sebagai anak seni khas buat peminat.

"Hidup ini seperti naik roller coaster, walaupun ia bergelombang, 45 tahun ini sangat indah. Saya bersyukur kerana sentiasa dapat sokongan mereka yang selalu ada di sisi.

"Saya akan menyanyikan lebih 40 lagu termasuk lagu saya gubah untuk penyanyi lain, yang mungkin orang tidak tahu itu adalah lagu saya hasilkan.

size NP 1 - 2024-05-25T162349.988

M. Nasir bakal nyanyikan 40 buah lagu di konsertnya.

"Antaranya lagu Padang Lalang (Hattan), Rintik Hujan di Kelopak Mawar (Dayangku Intan), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), dan mungkin kalau ada (peminat).

“Insya-Allah kalau ada peminat minta lagu, saya akan cuba layan permintaan mereka,” kongsinya.

Konsert Dato' M.N45ir Cipta akan mula dijual bermula 11 pagi pada 27 Mei 2024 di laman web Ticket2u.

Tiket konsert akan dijual berkonsepkan seleksi lagu popular ciptaan M.Nasir dengan harga RM238 (Awan Nano), RM338 (Sejati), RM458 (Fenomena), RM488 (Cinta Kristal), RM528 (Mustika) dan RM588 (Apokalips).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain