suria

Tahniah! Ikhwan Fatanna selamat disatukan dengan penyampai radio Zayan, Lin Ariffin

Ikhwan sah bergelar suami kepada Lin.

DENGAN sekali lafaz, penyanyi dan komposer Ikhwan Fatanna sah bergelar suami kepada personaliti radio Zayan FM, Lin Ariffin.

Majlis pernikahan pasangan ini berlangsung di Hulu Langat, Selangor pada malam Jumaat.

Mula rapat sejak pertengahan tahun lalu, Ikhwan atau Ikhwan Fatanna Mokhtar, 33, berkata hatinya terdetik untuk menjadikan Lin sebagai isteri apabila merasakan wanita itu adalah yang terbaik buatnya meskipun segala persiapan dilakukan dalam waktu singkat.

ikhwan fatanna 2

Ikhwan dan Lin disatukan dalam majlis ringkas pada malam Jumaat.

"Saya kenal Lin sudah lama sebagai rakan kerja, cuma dalam pertengahan tahun ini baru kami rapat. Apabila ada keserasian, saya rasa dialah wanita yang terbaik untuk dijadikan isteri.

"Kami pun dalam satu fasa umur yang sudah cukup matang dan sesuai untuk berkahwin. Kami tahu apa yang dimahukan dalam hubungan ini.

"Perkara yang baik eloklah kami segerakan supaya mendapat berkat," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikhwan Fatanna diganggu selepas tolak cinta peminat, bimbang jejaskan hubungan dengan kekasih

ARTIKEL BERKAITAN: Ikhwan Fatanna dipersalahkan ‘Berakhirlah Pencarianku’ tukar penyanyi, hanya tahu sehari sebelum sidang media SFMM37

Ikhwan dinikahkan oleh bapa Lin atau nama sebenarnya Siti Amalina Ariffin, 36 dan menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 bersama sebentuk cincin.

Melangkah ke fasa baharu kehidupan, Ikhwan juga menggalas tanggungjawab sebagai bapa tiri kepada anak lelaki Lin hasil perkahwinan terdahulu.

Berkongsi detik diijab kabulkan, Ikwhan mengakui ia satu pengalaman yang cukup mendebarkan namun cukup bermakna buat dirinya.

Kami pun dalam satu fasa umur yang sudah cukup matang dan sesuai untuk berkahwin

IKHWAN FATANNA

PENYANYI/KOMPOSER

"Rasanya menyanyi pun tak susah macam nak nikah. Memang gugup. Namun apabila sah bergelar suami, satu perasaan bahagia buat saya. Ini adalah tanggungjawab yang perlu saya galas.

"Lin juga memiliki anak lelaki. Saya rasa satu pengalaman luar biasa apabila bergelar bapa seawal ini. Saya dan anaknya memang rapat sebelum kami berkahwin," ujarnya.

ikhwan fatanna 3

Ikhwan membuat persembahan istimewa khas untuk isteri pada majlis pernikahan.

Pada majlis sama, Ikhwan juga sempat menyampaikan sebuah lagu berjudul Isteri Solehah sebagai dedikasi buat isteri tercinta.

"Lagu ini saya cipta ketika masih bujang. Jadi istimewa buat isteri, saya dedikasikan lagu ini buatnya pada majlis pernikahan kami," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain