suria

“Ini mungkin yang pertama dan terakhir”- Rabbani bikin konsert sempena 25 tahun penglibatan dalam industri muzik

Konsert 25 Tahun Rabbani akhir Disember ini.

ANGGOTA Rabbani iaitu Azadan memaklumkan Konsert 25 Tahun Simfoni Kesyukuran Rabbani yang bakal berlangsung pada 30 Disember ini berkemungkinan menjadi persembahan terakhir kumpulan nasyid popular berkenaan.

Azadan atau Azadan Abdul Aziz, 49, berkata, sekiranya mereka mahu mengadakan konsert pada masa hadapan ia mungkin diadakan bersempena sambutan jubli emas iaitu ulang tahun ke-50 iaitu dalam tempoh 25 tahun akan datang.

"Kalau nak diikutkan sebelum ini, konsert Rabbani semuanya berkolaborasi dengan penyanyi atau kumpulan lain. Ini adalah kali pertama kami mengadakan konsert solo bersempena sambutan ke-25 Rabanni dalam industri muzik tempatan.

"Mungkin ini konsert pertama dan terakhir Rabbani. Kalau nak anjur konsert seterusnya pun mungkin kena tunggu sambutan jubli emas pula... itu pun kalau umur kami semua panjang," katanya kepada mStar.

R2 - 1

Rabbani mengharapkan sokongan peminat nasyid.

Konsert berkenaan akan diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor dan merupakan kerjasama bersama Yayasan Warisan Johor (YWJ).

Dalam pada itu, Azadan berharap peminat muzik nasyid dapat memberikan sokongan dengan membeli tiket yang kini masih lagi dijual.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai artis menyanyi lagu ketuhanan, Rabbani pesan jaga tingkah laku... Faham lirik, bukan hanya nak kaut untung

ARTIKEL BERKAITAN: Azizan Rabbani sah meninggal dunia akibat Covid-19, jenazah selamat dikebumi di Pantai Dalam

Tambahnya, peminat juga berpeluang untuk mendapatkan hadiah menarik kerana setiap pembelian tiket disertakan dengan cabutan bertuah.

"Saya berharap lebih ramai peminat yang akan datang menyaksikan konsert kami nanti. Peminat berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah termasuk pakej umrah dan percutian ke tempat-tempat menarik," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang konsert yang bakal diadakan, Azadan memberitahu mereka kini sedang giat membuat latihan bersama 25 pemain orkestra YWJ.

Kalau nak anjur konsert seterusnya pun mungkin tunggu sambutan Jubli Emas... itu pun kalau kami panjang umur.

AZADAN

ANGGOTA RABBANI

Ketua kumpulan Rabbani itu memberitahu bakal mendendangkan 25 buah lagu popular mereka bersempena dengan sambutan jubli perak.

"Alhamdulillah, konsert itu nanti akan diadakan secara orkestra dan dipecahkan kepada lima segmen. Paling menarik, kami bawakan satu segmen tribute kepada Allahyarham Ustaz Asri," katanya.

Sementara itu, konsert ini juga bakal menyaksikan barisan penyanyi jemputan termasuk Hijjaz, Daqmie, Mawi, Dinie Juri dan juga Aeydan.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian di laman web www.mytiket.asia pada harga RM58, RM88, RM128 dan RM188.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain