suria

Impian ke pentas AJL tak kesampaian! Aiman Sidek kesal kurang pengikut di media sosial punca lagu 'Cinta Sejati' tidak layak SFMM37

Aiman kesal lagu Cinta Sejati tidak layak ke SFMM37.

PENYANYI dan komposer Aiman Sidek meluahkan rasa kesal apabila lagu nyanyiannya bersama Alin Sidek berjudul Cinta Sejati tidak layak berentap di separuh akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37).

Aiman atau Mohamad Aiman Md Sidek, 33, berkata, sebagai seorang penyanyi dan komposer, sudah tentu dia meletakkan harapan untuk bertanding di pentas besar berkenaan.

Meskipun lagu itu berjaya menjadi juara carta di beberapa buah stesen radio dan mendapat tontonan lebih 10 juta di laman YouTube, dia mengakui jumlah pengikut tidak ramai di media sosial membantutkan hasratnya bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Untuk beraksi di pentas AJL mungkin terlalu jauh bagi saya, setidaknya saya ingin berentap di peringkat separuh akhir.

"Namun, saya juga akur dengan jumlah pengikut yang tidak ramai di media sosial membuatkan lagu Cinta Sejati tidak layak kerana kurang mendapat undian," katanya kepada mStar.

aiman2 - 1

Aiman meletakkan harapan untuk bertanding di pentas SFMM37.

ARTIKEL BERKAITAN: SFMM37 tampil saingan sengit, berikut senarai penuh 30 lagu berentap

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi lain nyanyi ‘Berakhirlah Pencarianku’ di SFMM37, Ernie Zakri perjelas ia keputusan pengurusan

Dalam pada itu, penyanyi ini memberitahu dia pernah beraksi di pentas akhir AJL ke-28 pada tahun 2008 menerusi lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan Fedtri Yahya berjudul Dusta Berkalang.

Selepas kemunculan di pentas anugerah berprestij itu, dia berusaha keras bagi menempatkan diri dalam industri hiburan sehinggalah lagu Cinta Sejati mendapat tempat di hati pendengar.

"Ketika di awal kemunculan, saya pernah bersaing di pentas AJL. Selepas dari itu, saya berusaha gigih mencuri hati pendengar dengan lagu-lagu ciptaan saya.

"Alhamdulillah, tahun ini Cinta Sejati akhirnya diterima ramai. Panjang perjalanannya, tetapi saya masih tidak berjaya ke SFMM37," ujarnya.

aiman1 - 1

Aiman akur belum ada rezeki ke SFMM37.

Meskipun tidak berjaya, Aiman reda belum ada rezeki masanya untuk dia bersaing di pentas Juara Lagu.

"Saya percaya pada rezeki. Mungkin kerana di usia 30-an ini memberi sedikit kesukaran bagi saya mencuri perhatian peminat.

"Namun, saya tidak pernah berputus asa dan akan terus berkarya," jelasnya.

SFMM37 menyaksikan 30 buah lagu bakal bertanding selama dua hari, iaitu pada 25 dan 26 November depan.

Antara lagu-lagu yang layak berentap di SFMM37 ialah Debu nyanyian Amir Masdi dan Dayang Nurfaizah, Khilaf Asmara (Shila Amzah), Korban (Ernie Zakri), Mainan (Naim Daniel) dan Satu Malam Di Temasek (Joe Flizzow & Sonaone).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain