suria

Zul Huzaimy mohon maaf sangkal tuduhan rasis

Zul menafikan dakwaan dia terlalu ekstrem membuat kenyataan.

PELAKON Zul Huzaimy tampil membuat permohonan maaf susulan penularan sebuah rakaman yang mendakwa dia ingin menyembelih orang bukan Islam dalam sebuah ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Zul atau Zul Huzaimy Marzuki, 44, menyifatkan rakaman yang telah disunting itu menyebabkan ramai salah faham dengan konteks sebenar.

Susulan itu, Zul berharap orang ramai mendengar semula video penuh ceramah tersebut bagi memahami perkara yang cuba disampaikan.

"Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang mungkin salah anggap berkenaan dengan sebuah klip yang disunting oleh seseorang.

"Anda harus mendengar ucapan saya yang penuh, di mana saya mengatakan kita harus menjaga orang bukan Islam kerana mereka juga menyokong pemerintahan Islam di negara ini," katanya.

zul1 - 1

Zul tidak mahu kenyataannya disalah anggap.

Permohonan maaf itu dibuat Zul menerusi hantaran video di Instagram miliknya pada Isnin.

Dalam pada itu, Zul turut menjelaskan tentang kafir harbi iaitu musuh Islam yang nyata dan membenci Islam serta bersikap perkauman.

Golongan ini sebenarnya yang dimaksudkan menerusi video tular tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Profesional betul Haqiem Stopa! Sikit pun tak melenting ditegur Zul Huzaimy... "Cuma perkataan sekolahkan agak kasar"

ARTIKEL BERKAITAN: Zul Huzaimy dah merajuk, tolak 'tawaran mewah' Farid Kamil

"Semalam saya menerima sebuah video, ada sekumpulan pemain gendang di Pulau Pinang yang bergendang dengan kuat di hadapan masjid ketika azan dilaungkan.

"Perkara inilah yang harus kita faham dan segelintir golongan bukan Islam seperti ini yang saya maksudkan," jelasnya.

Saya hanya mahu kita saling menghormati.

ZUL HUZAIMY

PELAKON

Pelakon filem Rem-It ini turut menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan bangsa lain malah dia sendiri mempunyai ramai kenalan berlainan agama.

"Saya bukanlah seorang yang suka bergaduh. Saya juga bersahabat dengan semua kaum India, Cina malah Allahyarham ibu saudara saya juga berbangsa Cina.

"Apa yang saya maksudkan bila ada sesetengah pihak cuba memanaskan keadaan dengan membenci Islam sebagai agama rasmi di negara ini," ujarnya.

Zul turut menyangkal dakwaan ucapan dibuat itu berbaur kebencian, perkauman dan mengundang perbalahan dalam kalangan masyarakat.

zul2 - 1

Zul juga bersahabat dengan individu bukan Islam.

"Saya tidak membuat hate speech yang berbaur perkauman. Ingat, saya hanya mahu kita saling menghormati sebagai seorang rakyat Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa ada menerima laporan polis berhubung video berkenaan dan sehubungan itu Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan menjalankan siasatan.

Setiusaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut tiga seksyen berdasarkan dakwaan yang dikesan dilakukan pelakon terbabit.

Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain