suria

Viral video Shashic Iewan hadiah kereta untuk famili, paling sayu saat bapa tadah tangan berdoa… “Sejak kecil kami naik pengangkutan awam”

Bapa Shashic terharu dapat kejutan kereta dari anak.

BARU-BARU ini tular di aplikasi TikTok video memaparkan pelawak Shashic Iewan berpelukan dengan bapanya yang terharu apabila dikejutkan dengan hadiah sebuah kereta.

Menerusi video berkenaan, penonton turut berasa sebak apabila bapanya memasuki kenderaan tersebut sebelum mengangkat tangan membaca doa dalam linangan air mata tanda kesyukuran terhadap hadiah diterimanya.

Bekas peserta program Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) tersebut memberitahu impian untuk membeli sebuah kereta buat ibu bapa akhirnya terlaksana.

Shashic atau Muhammad Noor Shashic Iewan, 31, berkata, dia sudah lama berhajat membelikan sebuah kereta untuk kegunaan ibu bapanya memandangkan mereka tidak pernah memiliki kenderaan sebelum ini.

Ayah terharu dapat kejutan kereta daripada Shashic.

"Kereta itu untuk mak dan ayah sebab saya tidak tahu memandu. Sejak kecil kami sekeluarga hanya naik pengangkutan awam atau motosikal kalau hendak ke mana-mana. Selalunya kalau balik kampung pun naik bas ekspres.

"Jadi kereta ini adalah kereta pertama keluarga, Alhamdulillah impian saya nak tengok mak dan ayah memiliki kereta sendiri akhirnya tercapai," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemalangan motosikal ujian buat Shashic, katanya 6 minggu tahan sakit hampir tarik diri dari MLS3

ARTIKEL BERKAITAN: Shashic tak jadikan gagap sebagai ‘senjata’ dalam lawak... Reda masih ada netizen komen hina

Dalam pada itu, Shashic berkata, meskipun hanya kereta terpakai namun dia tetap gembira kerana membelinya secara tunai.

Katanya lagi, dia sudah lama mengumpul wang untuk membeli kereta berkenaan kerana ingin membalas jasa orang tuanya yang sudah bekerja keras sepanjang hidup mereka bagi membesarkannya.

Sejak kecil kami sekeluarga hanya naik pengangkutan awam atau motosikal kalau hendak ke mana-mana.

SHASHIC IEWAN

PELAWAK

"Memang dah lama saya kumpul duit, bila dah cukup saya memang tak fikir panjang dan beli kereta ini buat mak dan ayah.

"Bila lagi nak berjasa pada mereka, selagi mak ayah ada inilah masanya nak menghargai mereka," ujarnya yang hanya memiliki sebuah motosikal.

Berkongsi reaksi ibu bapanya ketika menerima kejutan tersebut, Shashic berkata, orang tuanya seakan-akan tidak percaya menerima hadiah berkenaan.

Shashic tidak mahu menunjuk-nunjuk.

Malah dia sendiri berasa segan apabila video dia memberi hadiah itu tular di media sosial kerana tidak mahu dianggap mahu menunjuk-nunjuk.

"Saya kalau boleh tak mahu tunjuk-tunjuk pada orang, tapi bila dah ada orang tularkan, tak mengapalah.

"Saya harap ia menjadi manfaat kepada orang lain untuk turut berbakti kepada kedua ibu bapa mereka," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain