suria

Ahmad Nawab pernah pulangkan semula duit RM22,000 kerana tak dapat ilham, menangis dengar anak didik sendiri menyanyi di konsert tribute

Ahmad Nawab tidak percaya sudah hasilkan lebih 2000 buah lagu.

LEBIH 70 tahun bergelar anak seni dan telah menghasilkan lebih 2,000 karya malar segar, Datuk Seri Ahmad Nawab merupakan seorang seniman yang banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan industri muzik di Malaysia.

Meskipun usianya sudah menjangkau 90 tahun, namun minatnya dalam bidang muzik tidak pernah padam malah beliau masih lagi aktif untuk terus menghasilkan lagu-lagu baharu.

Namun bukan mudah untuk Ahmad Nawab mencipta sesebuah lagu sebaliknya perlu mengenali karakter seseorang penyanyi secara mendalam terlebih dahulu kerana itulah yang akan menjadi resepi utama dalam penghasilan lagunya.

nawab 1

Jamal, Ramlah dan Shidee antara tiga anak didik Ahmad Nawab.

Berkongsi mengenai pengalamannya, Ahmad Nawab berkata, beliau pernah menerima wang berjumlah RM22,000 daripada seorang penyanyi yang ingin menggunakan khidmatnya, namun wang itu terpaksa dipulangkan semula kerana tidak dapat mendalami karakter dan personalitinya.

"Sejak dari dahulu lagi saya tak pernah cipta lagu dan simpan. Sebaliknya saya akan hasilkan sesuatu karya itu mengikut karakter seorang penyanyi. Jadi sesebuah lagu yang dihasilkan itu adalah khas untuk individu itu.

"Pernah ada seorang penyanyi memberikan saya wang sebanyak RM22,000 untuk cipta dua buah lagi tetapi saya pulangkan semula kerana tidak dapat ilham. Karakter penyanyi itu tidak 'datang' kepada saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak pilih kasih, Jamal Abdillah dah siap rumah untuk anak-anak seorang sebuah

ARTIKEL BERKAITAN: Ramlah Ram dinasihatkan berehat, peti suara bengkak akibat gastrik

"Sehari atau dua tidak cukup untuk kenal karakter seseorang. Paling tidak seminggu duduk bersama supaya saya boleh tahu secara lebih mendalam," katanya.

Komposer terkenal itu ditemui ketika sidang media selepas majlis pratonton Konsert Tribute Seniman Datuk Ahmad Nawab yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada malam Khamis.

Dalam pada itu, bercakap mengenai penganjuran konsert itu, Ahmad Nawab menzahirkan rasa terharu kerana anak didinya sendiri iaitu Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khatijah Ibrahim, Shidee dan Ramlah Ram terlibat dalam konsert itu dan membawakan lagu-lagu ciptaannya.

Saya menangis di belakang pentas mendengar mereka menyanyi. Ini satu penghargaan buat saya

DATUK SERI AHMAD NAWAB

SENIMAN NEGARA

"Mendengarkan lagu-lagu saya dinyanyikan oleh anak didik sendiri, saya rasa amat terharu. Tak sangka juga saya telah mencipta banyak lagu. Saya menangis di belakang pentas mendengar mereka menyanyi. Ini satu penghargaan buat saya," katanya.

Konsert yang turut menampilkan penyanyi muda Wany Hasrita ini merupakan anjuran Bin Jamal Event Sdn Bhd dan dibawa bersama oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Istana Budaya.

Tidak sekadar menghiburkan penonton, penganjuran konsert ini juga diharap dapat memperkenalkan nama Ahmad Nawab kepada generasi muda selain karya-karya hebat yang pernah dihasilkan.

nawab 3

Ahmad Nawab ketika sidang media Konsert Tribute Seniman Datuk Ahmad Nawab.

Selain menyanyikan lagu-lagu popular mereka sendiri, Jamal, Khatijah, Shidee dan Ramlah turut mendendangkan karya-karya Ahmad Nawab yang pernah dinyanyikan oleh rakan penyanyi lain.

Antaranya seperti lagu Tiada Maaf Bagimu dan Kau Tinggi Di Awan Biru yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu (Uji Rashid) dan Seiring Sejalan (Broery Marantika dan Sharifah Aini).

Konsert ini berlangsung selama tiga hari bermula pada 1 hingga 3 Julai dan tiket masih boleh dibeli secara atas talian di www.illasoticiket.com.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain