suria

Nampak sila lapor! Laporan polis filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan tersebar sudah dibuat, tindakan mahkamah menyusul 

Tindakan undang-undang bakal diambil kepada sesiapa yang menyebarkan klip filem Mat Kilau di media sosial.

PIHAK penerbit filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Studio Kembara Sdn Bhd telah membuat laporan polis berhubung penyebaran filem tersebut yang berleluasa di laman sosial seperti TikTok dan Instagram sejak kebelakangan ini.

Pegawai undang-undang syarikat tersebut yang dikenali sebagai Hassan berkata, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada Khamis dalam usaha menghentikan penularan filem itu tanpa kebenaran.

"Rakaman yang dibuat oleh sesetengah pihak ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menyebarkan klip rakaman filem itu di media sosial," katanya.

Sebelum ini, pengarahnya Syamsul Yusof memberi amaran keras kepada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan rakaman filem itu dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada yang tetap berdegil.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Muat naik sedutan 'Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan' lebih 5 saat, Syamsul Yusof mahu ambil tindakan terhadap pengguna TikTok

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen puji lakonan dalam Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan... Nama Fattah Amin trending di Twitter, bukan lagi 'pelakon kayu'

Dalam pada itu, Hassan mengingatkan kepada masyarakat, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana perbuatan itu adalah kesalahan berat dibawah akta hak cipta dan juga akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Ada akta khas untuk mencegah perkara ini daripada berlaku secara berleluasa dan ia adalah kesalahan berat jika merakam filem di dalam panggung wayang.

"Kita akan berjumpa dengan pegawai penyiasat dan mungkin akan buat tindakan lanjut," ujarnya.

Sementara itu, Hassan turut menyeru kepada pengguna media sosial untuk melaporkan kepada pihaknya jika terjumpa ada pihak yang menyebarkan filem itu untuk diambil tindakan.

mat kilau

Syamsul Yusof membuat teguran di hantaran Instagram mengenai isu penyebaran klip filem Mat Kilau di aplikasi TikTok.

"Kepada pihak yang masih lagi buat, ini adalah amaran keras dan kepada pihak-pihak diluar sana, jika ternampak sila beritahu Studio Kembara.

"Kita akan ambil tindakan segera untuk kita cegah perkara ini daripada terus berlaku," tegasnya.

Untuk rekod, filem lakonan Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhan dan Johan As'ari itu telah mengutip RM23 juta sejak ia ditayangkan pada 23 Jun 2022.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain