suria

Aliff Syukri hadir ke SKMM bantu siasatan MV ‘Kelepok Raya’

Aliff dipanggil ke SKMM untuk bantu siasatan berhubung klip video lagu Kelepok Raya.

USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri hadir ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya pada pagi Selasa bagi membantu siasatan berhubung video muzik lagu Kelepok Raya.

Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman tiba di perkarangan SKMM pada 9.58 pagi dengan berpakaian kot kelabu serta seluar panjang berwarna hitam dengan diiringi dua individu.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu banyak aduan, SKMM panggil Aliff Syukri serta individu terlibat dalam MV ‘Kelepok Raya’

"Maaf ya, saya kena masuk ke dalam," kata Aliff kepada pemberita yang turut berada di perkarangan SKMM.

Aliff 2

Klip videp yang memaparkan aksi tidak bersesuaian.

Kehadiran selebriti kontroversi itu bagi memberikan keterangan berhubung klip video muzik lagu nyanyiannya yang dikaitkan dengan unsur bertentangan dengan norma dan budaya tempatan.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video berkenaan.

Menurut beliau, individu yang dikenal pasti telah diberi notis dan diminta untuk hadir di ibu pejabat SKMM, Cyberjaya pada Selasa.

Klip video raya berkenaan yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat.

Aliff 1

Annuar Musa berkata kertas siasatan sudah dibuka.

MV tersebut menerima kritikan ramai kerana dikatakan bertentangan dengan budaya Melayu dan orang Islam, lebih-lebih lagi ia ditayangkan ketika di bulan Ramadan.

Dalam pada itu, Annuar turut mengesahkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerima terlalu banyak aduan termasuk daripada Jabatan Perdana Menteri khususnya Hal Ehwal Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung klip video itu.

Pada pagi Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad turut memaklumkan klip video lagu raya yang dimuat naik oleh jutawan sensasi itu telah dirujuk kepada Jakim untuk dibawa kepada pihak berkuasa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain

Putrajaya banjir selepas satu jam hujan