suria

Michael Ang tak masuk campur kisah peribadi artis tapi pantang timbul kes dadah di set penggambaran, ‘warning’ jangan buat hal!

Michael Ang pantang artis terlibat dadah di set penggambaran.

CADANGAN mewajibkan laporan ujian air kencing bagi mengelakkan kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan kru produksi dan pelakon menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penggiat seni.

Berkongsi pandangan mengenai isu itu, penerbit dan pengarah terkenal Michael Ang berpendapat hal ini wajar dipertimbangkan jika boleh memberi kebaikan kepada syarikat produksi.

"Bab dadah ni saya memang pantang... saya dah beritahu pada semua kru dan pelakon, saya tidak mahu tahu tentang kehidupan mereka di luar kerana yang penting mereka datang set dan buat kerja.

ARTIKEL BERKAITAN: Uqasha Senrose teraju The Hotel 2, Michael Ang jelaskan jalan cerita berbeza

ARTIKEL BERKAITAN: Michael Ang tunai janji... belanja RM5,000 kepada 10 pengikut IG yang kuarantin kendiri - “Saya cuma bantu mana yang termampu”

"Saya tak boleh nak control kehidupan mereka sebab bukan hak saya tetapi apabila datang ke set penggambaran perlu hormat orang lain.

"Kena faham kalau kau kena tangkap ia akan terkait dengan periuk nasi orang lain. Masyarakat luar akan kaitkan dengan satu produksi termasuk orang tak bersalah pun dilabel ambil dadah juga. Jadi, dalam hal ini saya memang setuju kalau ujian air kencing dibuat," katanya kepada mStar.

michael 2

Michael Ang minta pelakon dan kru jaga kelakuan di set penggambaran.

Michael mengulas mengenai isu itu semasa sidang media drama Sihir yang diadakan secara maya.

Awal Oktober lalu, industri hiburan digegarkan dengan penahanan seorang pelakon, pengarah dan penolong pengarah yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah di sebuah lokasi penggambaran.

Gara-gara insiden itu ramai pihak tampil menyatakan cadangan termasuklah menyenarai hitam mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Mungkin ada juga penerbit yang akan bising kerana nak buat ujian air akan menambahkan kos!

MICHAEL ANG

PENGARAH

Ada juga pihak mencadangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperketatkan permohonan mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dengan mewajibkan laporan ujian air kencing bagi mengelakkan kejadian sama.

Biarpun bersetuju dengan cadangan itu, Michael berkata ia masih perlu diperhalusi dan dibincangkan bersama semua pemain industri kerana membabitkan kos.

"Saya pernah cadangkan perkara ini kepada pihak Astro, namun apa-apa pun perkara ini juga membabitkan wang jadi pastinya kos produksi akan bertambah.

michael 3

Teraju utama drama Sihir, Kamal Adli (kiri) dan Hun Haqeem.

"Mungkin ada juga penerbit yang akan bising kerana nak buat ujian air akan menambahkan kos... sekarang ini pun penerbit dah kena tambah bajet untuk buat ujian Covid-19," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, drama arahan Michael berjudul Sihir bakal bersiaran di Astro Ria setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 11 malam, bermula 1 November depan.

Sihir menampilkan Kamal Adli dan Hun Haqeem selaku teraju utama mengisahkan tentang adik-beradik kembar iaitu Nuh dan Hud yang mempunyai deria keenam dan cuba menyelesaikan kes-kes berkaitan dengan sihir yang mengganggu orang di sekeliling mereka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain