suria

Lakonan Shukri Yahaya dipuji, ramai terkesan watak Nazril dalam RASN - “Sebab cerita ni aku nampak kebodohan aku sebagai isteri”

Shukri bergandingan dengan Uqasha dalam drama Rindu Awak Separuh Nyawa.

PELAKON Shukri Yahaya berasa teruja dan gembira apabila drama lakonannya Rindu Awak Separuh Nyawa (RASN) dipuji berbeza daripada drama lain yang pernah dilakonkan.

Shukri atau nama sebenarnya Mohd Shukri Yahaya berkata, dia banyak menerima mesej positif daripada penonton yang datang dari pelbagai usia, malah negara luar seperti Indonesia dan Brunei.

ARTIKEL BERKAITAN: Penonton ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ dilabel makcik bawang... Siti Rosmizah kecewa kenyataan Shahrulezad - “Tolong hormat karya orang lain”

Tambah pelakon berusia 33 tahun ini, wataknya sebagai Nazril Nazim turut memberi kesan kepada segelintir penonton kerana jalan cerita berdasarkan realiti kehidupan yang terjadi dalam kalangan masyarakat.

Shukri kongsi mesej daripada penonton drama RASN.

"Alhamdulillah... bila dapat tahu RASN ini menerima pujian penonton dan ada yang kata jalan cerita lain daripada lain, sudah tentu kami semua yang terlibat rasa seronok.

"Saya sendiri sebagai salah seorang pelakon, rasa gembira bila penonton enjoy. Ada yang tengok dari mula sampai sekarang dan ada juga yang baru tahu... terpaksa cari balik dekat mana nak tengok dari awal.

"Bukan itu saja, saya dapat tahu pelbagai peringkat usia dan negara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura juga tonton selain orang Malaysia yang dekat negara luar pun layan juga.

"Ada juga yang mengatakan mereka terkesan dengan watak saya... mungkin saya rasa sebab cerita ini bukan rekaan semata-mata tetapi sebenarnya ada terjadi di kalangan kita sebab itu ramai yang terasa," katanya kepada mStar.

Agak kecewa juga bila dapat tahu orang-orang dalam industri juga.

SHUKRI YAHAYA

PELAKON

Baru-baru ini, Shukri berkongsi mesej daripada netizen di Instagram yang mengakui terkesan dengan watak Nazril.

Antara mesej yang diterima ialah daripada seorang penonton yang terkesan dan menyedari kesilapan yang dilakukan terhadap suami selepas menonton drama berkenaan.

"Aku terkesan dengan cerita ini bukan sebab kasihan dekat Sarah tapi cerita ini memaparkan ego aku. Watak aku duduk dalam diri Nazril. Alhamdulillah sebeb cerita ni aku nampak kesalahan dan kebodohan aku sebagai isteri," ujar individu berkenaan.

RASN menampilkan gandingan mantap Shukri dan Uqasha Senrose yang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam di slot MegaDrama, Astro Ria.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sebelum ini, penerbit dan penulis novel Siti Rosmizah Semail kecewa apabila drama terbitannya itu dilabelkan sebagai karya tidak berkualiti dan hanya ditonton masyarakat yang suka sibuk hal orang lain atau digelar mak cik bawang.

Siti Rosmizah berkata tindakan pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin menjadikan drama RASN sebagai contoh drama tidak berkualiti merupakan satu kenyataan yang tidak beradab dan melukakan hati penontonnya.

Bagaimanapun Shahrulezad menjelaskan dia tidak berniat memperlekehkan drama tersebut dan menganggap gelaran 'acik-acik bawang' itu sebagai penonton yang banyak menyokong karya tempatan.

Tulisan Shahrulezad (kiri) mengundang rasa kurang senang Siti Rosmizah yang turut memuat naik status di Instagram.

Dalam pada itu, Shukri turut berkongsi perasaannya apabila mengetahui drama tersebut diperlekehkan oleh seseorang yang berada dalam industri yang sama.

Biarpun mengakui setiap orang mempunyai citarasa berbeza namun Shukri berpendapat orang dalam industri sepatutnya saling menyokong bukan hanya mengkritik atau menghentam karya orang lain.

"Saya ada dengar juga yang ada pihak perlekehkan drama ini, katanya acik-acik bawang punya cerita. Saya sendiri sebagai seorang pelakon dalam drama ini pun rasa macam terkejut.

"Bagi saya, setiap orang ada minat dan taste masing-masing. Jadi kita tak boleh nak hentam orang. Tak boleh rasa diri sentiasa hebat. Agak kecewa juga bila dapat tahu orang-orang dalam industri juga.

"Sepatutnya orang dalam industri sokong satu sama lain... bukan hentam atau kritik semata-mata. Bagi saya, kalau buat daya saing yang sihat lagi bagus. Kalau rasa drama orang lain bagus, drama kita tak bagus... kita buat lagi bagus.

"Bukan dengan menjatuhkan cerita atau karya orang lain untuk nampak karya kita lebih hebat. Bagi saya, benda itu tidak patut ada dalam industri," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain