suria

Azhar Osman buat ‘comeback’ selepas empat tahun menyepi... tak sangka ‘Ternyata’ dipilih jadi OST drama

Azhar teruja akhirnya dapat keluarkan lagu terbaharu setelah empat tahun menyepi.

EMPAT tahun menyepi dari dunia muzik, penyanyi Azhar Osman kini tampil dengan lagu berjudul Ternyata dan menariknya karya tersebut mendapat sentuhan daripada komposer terkenal iaitu Farouk Roman.

Mengakui sangat teruja, pemilik nama Mohd Azhar Osman ini berkata dia pada mulanya menyangka Farouk sekadar bergurau ketika memintanya untuk menyanyikan lagu tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak Boleh Nyanyi Solo Puncanya - Azhar

"Pada mulanya, saya ingat Farouk tawarkan saya untuk menyanyikan lagu runut bunyi ciptaannya itu sekadar gurauan. Namun, rupa-rupanya dia memang serius dan saya terus ambil keputusan untuk menerimanya.



Azhar teruja dapat lagu hasil sentuhan daripada Farouk Roman.

"Semestinya, saya berterima kasih dan berbesar hati atas kesudiannya memilih saya menyanyikan karyanya. Sebaik saya mendengar demo lagu yang diberikan kepada saya itu, ia serta-merta menangkap halwa telinga saya.

"Melodinya terus menggambarkan bagaimana perjalanan lagu itu dan saya semestinya sangat teruja untuk mencabar diri bagi melunaskan tugasan lagu itu," kata penyanyi berusia 33 tahun ini kepada mStar.

Lagu Ternyata merupakan runut bunyi untuk drama Single Terlalu Lama arahan pelakon Ungku Ismail Aziz yang turut membintangi drama tersebut.

Tiba-tiba, saya muncul kembali dan terus buat lagu runut bunyi, saya anggap itu bonus.

AZHAR OSMAN

PENYANYI

Ungku Ismail turut bergandingan dengan barisan pelakon iaitu Riz Amin, Anas Ridzuan, Shah Kimin, Julia Farhana, Dayana Roza, Lia Natalia, Azar Azmi, Noorkhiriah, Zila Bakarin, Norman Hakim dan Uchee Fukada.

Dalam pada itu, Azhar memberitahu biarpun berbesar hati dapat menyanyikan lagu runut bunyi namun ia tetap memberi sedikit tekanan kerana bimbang dengan sambutan single tersebut.

"Memandangkan ia lagu runut bunyi, timbul rasa bercampur-baur di mana pertamanya saya sangat berbesar hati. Yalah, siapa yang tak mahu lagunya dimainkan dalam drama dan saya pula sudah beberapa tahun tidak menyanyi.



Azhar akui bimbang jika lagunya tidak dapat sambutan.

"Tiba-tiba, saya muncul kembali dan terus buat lagu runut bunyi, saya anggap itu bonus. Perasaan yang satu lagi semestinya terasa sedikit tekanan kerana risau sama ada lagu ini akan menjadi, memberi keadilan kepada komposer, dapat sambutan, atau tidak.

"Apa-apa pun, saya percaya kepada rezeki, siapa tahu mungkin inilah masa yang tepat untuk saya kembali. Saya tak kisah kalau lagu ini lebih dikenali sekadar runut bunyi," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain