suria

Izreen Azminda hamil lagi, alami alahan lain macam - “Saya tak boleh bau minyak masak!”

Izreen Azminda dijangka bersalin awal Oktober nanti.

PELAKON Izreen Azminda mengesahkan dia kini sedang hamil anak ketiga dan usia kandungannya sudah memasuki bulan keempat.

Menurut Izreen atau nama sebenarnya, Izreen Azminda Aznam, 36, dia mengetahui sedang berbadan dua ketika kandungannya mencecah usia dua bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Izreen Azminda kembali berlakon, harap tak dikaitkan lagi dengan kisah lama - “Semua dah move on... masing-masing sudah bahagia”

"Saya tahu mengandung ketika usia kandungan dah masuk bulan kedua. Masa tak tahu tu, memang saya aktif sangat mengemas rumah... tiba-tiba jadi rajin susun atur dan hias rumah agar sentiasa nampak kemas.

"Kalau mengenai alahan, kali ini memang agak teruk jika nak dibandingkan dengan kehamilan sebelum ini. Saya tak boleh bau minyak masak dan tak boleh jadi penumpang dalam kereta, kalau saya yang memandu tak mengapa.

"Tapi Alhamdulillah, sekarang alahan saya sudah semakin berkurangan sejak masuk trimester kedua," katanya ketika dihubungi mStar.



Video yang dimuat naik Izreen Azminda di Instagram menampakkan baby bump.

Sudah memiliki dua anak lelaki, Izreen berkata dia tidak terlalu meletakkan harapan dikurniakan cahaya mata perempuan sebaliknya hanya berserah dengan rezeki yang diberikan Allah SWT.

Saya tak boleh bau minyak masak dan tak boleh jadi penumpang dalam kereta.

IZREEN AZMINDA

PELAKON

"Saya tidak mengharapkan apa-apa, yang penting biarlah anak itu nanti sihat dan selamat dilahirkan.

"Saya tak mahu terlalu berharap (untuk dapat anak perempuan) takut nanti saya akan kecewa, jadi saya hanya berserah sahaja pada rezeki Allah beri," katanya.



Izreen bersama suami dan anak-anak.

Izreen mendirikan rumah tangga dengan pemuzik, Muhammad Radzi Abdul Wahid, 33, atau lebih dikenali sebagai Ude pada 8 Ogos 2017 dalam satu majlis tertutup di Damansara, Selangor.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Aaron Ibrahim yang kini berusia dua tahun.

Izreen turut mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Muhamad Adrian Umar, 8 tahun.

Pelakon kelahiran Perlis itu juga mempunyai dua anak tiri lelaki iaitu Arish Muqri, 5, dan Ariq Muqri, 3 tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain