suria

Nyaris hilang kaki kanan akibat terbabit kemalangan, Haziq syukur dapat peluang kedua selepas buat rawatan alternatif - “Doa ibu saya dimakbulkan”

Haziq tampil dengan single terbaharu selepas lebih setahun berehat.

PERNAH melalui detik sukar hampir kehilangan kaki kanan selepas terbabit kemalangan tahun lalu, bekas vokalis Putera Band iaitu Haziq meluahkan rasa syukur apabila kecederaan yang dialami itu sudah pulih sepenuhnya.

Haziq atau nama sebenarnya Muhammad Haziq Hasbullah, 20, berkata, apa yang berlaku adalah berkat doa ibu iaitu penyanyi Linda Eva untuk melihat dia sihat sepenuhnya dimakbulkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Haziq tak sanggup kaki dipotong “Sekarang tanggung risiko, mahu cuba cara rawatan lain”

Haziq berkata, dia masih terkenang detik kaki kanannya nyaris dipotong akibat kemalangan tersebut namun bernasib baik mempunyai ibu yang berusaha menghalang perkara itu berlaku.



Linda disamping anaknya, Haziq selepas kemalangan.

"Alhamdulillah, kerana Allah makbulkan doa saya dan mama. Saya amat takut waktu itu bila dapat tahu bahawa kaki saya akan di potong.

"Saya bersyukur kerana ada mama yang kuat dan berusaha menghalang daripada kaki saya dipotong, jika tidak saya tak tahu apa nasib saya sekarang," kata Haziq.

Pada 5 Julai tahun lalu, Haziq yang membonceng motosikal bersama rakannya dalam perjalanan ke Bukit Jalil terbabit kemalangan di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada pukul 1 pagi.

Sebuah kereta yang dipandu laju melanggar motosikal mereka dari arah belakang sehingga membuatkan Haziq melambung dan terjatuh di jalan raya.

Kemalangan itu telah menyebabkan Haziq mengalami kecederaan kaki kanan serta kehilangan lebih dua liter darah menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan sebanyak dua kali.

Lagu dan Lirik dalam lagu ini memang saya minta Haqiem buat tentang kisah saya.

HAZIQ

PENYANYI

Pada mulanya doktor memberitahu kaki kanannya tidak dapat diselamatkan namun ibunya berikhtiar mendapatkan rawatan secara alternatif bagi menyelamatkan anggota tubuhnya itu.

Dalam pada itu, ibu kepada Haziq iaitu Linda memberitahu dia melihat sendiri bagaimana anaknya melalui fasa tekanan perasaan mengenang nasib yang mungkin tidak akan berjalan lagi seperti biasa.

"Sebagai ibu, saya tak sanggup tengok anak saya begitu. Air mata tak henti mengalir dan saya tak putus berdoa setiap kali lepas solat supaya Allah sembuhkan Haziq.

"Tambahan pula dia terlalu muda dan saya selalu ingatkan Haziq, hanya semangat dan kekuatan dalaman dia sendiri yang dapat bantu dia untuk sembuh, selain jangan putus berdoa," ujarnya.



Lagu terbaharu Haziq berdasarkan kisah dia kemalangan jalan raya.

Selepas berehat lebih satu tahun, Haziq kini tampil dengan single terbaharu berjudul Kembali Tersenyum hasil ciptaan rakannya yang juga penyanyi Haqiem Rusli.

"Terima kasih kepada Haqiem Rusli kerana buat lagu yang best untuk saya. Lagu dan Lirik dalam lagu ini memang saya minta Haqiem buat tentang kisah saya.

"Sewaktu saya terlantar tidak berdaya lagi untuk berdiri, saya terpaksa singkirkan orang yang saya sayang kerana saya tak mahu dia terbeban dan rasa malu dengan keadaan saya yang sudah tidak boleh berjalan.

"Saya amat berharap single solo saya ini dapat mengubat segala kesedihan yang saya lalui, bukan sahaja tentang kemalangan itu, tetapi juga tentang kisah insan yang saya sayang," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain