suria

Asyraf Dasley terlantar 3 hari kerana denggi, bangga raih Top 3 'Face of Asia 2020' - “Alhamdulillah berbaloi... tak sabar final di Korea Selatan”

Asyraf Dasley teruja dapat wakili Malaysia ke pertandingan FOC2020 di Korea Selatan, tahun depan.

PELAKON baharu Asyraf Dasley meluahkan rasa syukur dan berbangga kerana dapat mengharumkan nama Malaysia sehingga meraih kedudukan tiga terbaik dalam pertandingan Face of Asia 2020 (FOC 2020) yang berlangsung secara atas talian, baru-baru ini.

Asyraf, 29, menyingkirkan peserta tuan rumah iaitu Korea Selatan di peringkat separuh akhir sekali gus melayakkannya mara ke pentas final FOC 2020 yang bakal diadakan semasa penganjuran Asia Model Awards 2020 di Korea Selatan pada tahun depan.

“Sepanjang tempoh semifinal yang bermula pada pertengahan November lalu, saya diuji apabila menghidap demam denggi dan terlantar selama tiga hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon baharu Meerqeen terima kritikan demi nak timba ilmu - “Lagi suka kalau orang benci saya, maksudnya satu bonus”

“Kondisi itu menjadikan saya sedikit gusar kerana tugasan diberi pihak penganjur masih tidak disempurnakan, malah ada yang belum dimulakan.

“Namun sebaik sembuh, saya tekad gandakan usaha menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh sebelum tiba tarikh akhir. Walaupun rasa jerih, Alhamdulillah ia berbaloi dengan kejayaan ini," kata anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.

Saya tak mahu sia-siakan peluang yang ada, bagi saya pelajaran dan kerjaya perlulah seiring untuk menempa kejayaan dalam hidup kita.

ASYRAF DASLEY

PELAKON

Berita gembira itu diumum menerusi platform media sosial milik FOC 2020 oleh pihak penganjur pada 4 Disember lalu.

Malah, dia turut mengakui tidak sabar untuk mewakili negara ke Korea Selatan tahun depan dan berharap mendapat sokongan orang ramai.

Pada masa sama, Asyraf turut mengalu-alukan penaja yang sudi menghulurkan tajaan dalam bentuk wang tunai bagi mempermudahkan urusannya di negara itu.



Asyraf mahu harumkan nama negara dan bawa pulang piala kemenangan.

Selaku model profesional, naib juara pertandingan pencarian bakat Mister Planet Nation Malaysia 2016 (MPM 2016) itu berterima kasih kepada barisan penaja yang membantunya hingga mencapai tahap ini.

Ditanya mengenai karier lakonannya, Asyraf berkata buat masa ini dia mengutamakan pengajiannya di peringkat doktor falsafah (PhD) sebelum kembali bergiat aktif sebagai pelakon.

“Sekarang saya sedang menyambung pelajarannya di peringkat PhD pengajian Reka Bentuk Teknologi Keusahawanan selepas menamatkan Sarjana Reka Bentuk Teknologi.

“Saya tak mahu sia-siakan peluang yang ada, bagi saya pelajaran dan kerjaya perlu seiring untuk menempa kejayaan dalam hidup kita. Yang penting keikhlasan dalam melakukan sesuatu pekerjaan!” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain