suria

Lumpuh sebelah muka, Faye Kusairi sentiasa positif untuk cepat sembuh - “Jangan riyak dengan muka yang cantik”

Faye Kusairi mahu kongsi perjalanan kisah penyakit Bell Palsy yang dialami olehnya.

DISERANG Bell Palsy yang menyebabkan kelumpuhan pada sebahagian wajahnya pada Jumaat lalu, pelakon Faye Kusairi memberitahu keadaan kesihatannya kini semakin baik selepas menjalani beberapa siri rawatan.

Menerima ujian itu dengan hati terbuka, Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 33, berkata dia sentiasa berfikiran positif dan meminta peminat tidak berasa bimbang dengan keadaannya itu.

"Saya nak kongsikan yang saya sihat walafiat. Tak murung, tak ada fikirkan negatif, masih buat rawatan dan senaman serta makan ubat yang disarankan oleh pihak hospital terutamanya doktor saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami bimbang Faye Kusairi aktif ketika hamil empat bulan - “Dia dah masak dengan perangai saya”

"Jangan risau ya semua, saya tak down. Saya tak murung. Saya tak sedih malah bersyukur diberi rezeki ini untuk sentiasa tahu yang Allah SWT sayangkan saya sebab itu dia bagi saya pengalaman ini untuk sentiasa muhasabah diri.

"Kepada yang mengalami masalah sama seperti saya, saya harap korang jangan sedihlah ya. Sentiasa positif macam saya, ada yang sembuh cepat, ada yang sembuh lambat. Pokok pangkalnya, kita akan sembuh jika kita stay positif dan rajin berusaha memperbaiki diri. InsyaAllah," katanya menerusi Instagram pada Jumaat.

Perkongsian Faye di Instagram menarik perhatian pengikut.

Pada Jumaat lalu, Faye dikejarkan ke hospital selepas mendapat serangan Bell Palsy iaitu kelumpuhan otot muka.

Bell Palsy merupakan sejenis kelumpuhan pada sebahagian muka kerana saraf atau otot muka berhenti berfungsi. Antara simpton lazim akibat penyakit berkenaan adalah muka senget sebelah terutama mata dan mulut tidak simetri.

Dalam pada itu, Faye turut memohon maaf kerana tidak membalas mesej yang dihantar oleh rakan-rakan dan peminat kerana perlu berehat berikutan keadaannya kini yang sedang sarat mengandung.

Saya belum sempat nak balas satu-satu sebab memang banyak dan saya sedang berehat menunggu hari untuk bersalin.

FAYE KUSAIRI

PELAKON

"Saya nak minta maaf kepada semua yang ada DM saya, komen di Instagram saya dan mana-mana media sosial yang repost perkongsian saya tentang keadaan sebelum ini.

"Saya belum sempat nak balas satu-satu sebab memang banyak dan saya sedang berehat menunggu hari untuk bersalin. Harap semua faham dan saya nak anda semua tahu yang saya dah baca DM anda termasuklah perkongsian cerita pengalaman anda menghadapi Bell Palsy ni.

"Syukur Alhamdulillah... rakan-rakan dan famili yang mesej saya ambil berat tentang saya, terima kasih sangat-sangat," ujarnya.



Faye bersama suami Azmi Hatta dan anak mereka, Alif Azmi.

Sementara itu, Faye berkata dia turut menerima banyak mesej daripada pengikut yang menderita penyakit sama dan mahu mendapatkan nasihat serta panduan untuk cepat pulih.

"Saya perasan ramai DM mengatakan mereka pernah dan sedang menghadapi Bell Palsy ini. Ada yang berkongsi tips akupuntur. InsyaAllah saya akan cuba!

"Saya kongsi video ini sebab saya sedar betapa risaunya orang ramai terhadap kondisi saya sekarang dan mungkin boleh bantu naikkan keyakinan kepada yang menghidapinya. Jangan risau sangat, jangan stres! Percaya diri kita akan sembuh dan jangan berhenti untuk berusaha.

"Selagi bernyawa, kita positifkan diri untuk terus sembuh. Jangan malu dengan keadaan kita. Sama juga jangan riyak bila kita diberi rezeki kesihatan yang mantap, body yang mantap, muka yang cantik dan sebagainya. Sentiasalah bersederhana!.

"Saya akan cuba kongsi lebih video dan perkembangan tentang saya ya kalau larat... maklumlah dah nak masuk 39 minggu kehamilan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain