suria

Terlalu banyak idea tentang cerita hantu, Mamat Khalid muncul dengan drama eksklusif 'Kampong Pisang Bersiri-Siri'

Mamat Khalid banyak idea tentang cerita seram Melayu.

SELEPAS lima buah filem di bawah francais Kampung Pisang merekodkan kejayaan pecah panggung, pengarah terkenal Mamat Khalid mengembangkan lagi karyanya dengan menghasilkan drama bersiri komedi, Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Mamat atau Mohamad Mohamad Khalid, 57, berkata, dia mempunyai terlalu banyak idea mengenai cerita hantu yang sesuai untuk dijadikan jalan cerita yang lebih panjang dan menarik untuk diterbitkan sebagai drama bersiri.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Manap Karaoke' karya Mamat Khalid untuk mereka yang stres dan bosan di rumah - “Masa paling sesuai hiburkan penonton”

"Dah lama rasanya saya beri tumpuan kepada pembikinan filem, jadi kali ini saya bawakan sesuatu yang baru dan menarik iaitu berbentuk drama bersiri yang menerapkan mod filem bagi memastikan ia suatu karya yang sangat berkualiti.

"Bagi saya, filem agak terhad dari segi penyampaian, jadi saya memilih untuk buat dalam bentuk drama bersiri kerana ingin memperluaskan lagi jalan cerita sekaligus memberi kepuasan kepada penonton setia francais Kampung Pisang," ujarnya.



Antara barisan pelakon Kampong Pisang Bersiri-Siri.

Drama bersiri komedi seram 12 episod itu bakal ditayangkan pada 7 Disember depan, pukul 9 malam di saluran Astro Citra HD.

Ini merupakan kali pertama Astro membawa francais filem blockbuster ke skrin televisyen dalam bentuk drama bersiri premium menerusi jenama Astro Originals.

Sementara itu, Mamat mengakui menggunakan dialog-dialog pedas bagi membuka mata penonton berkaitan mesej yang ingin disampaikan berkaitan isu kemasyarakatan.

Tambahnya, setiap pelakon diberi kelonggaran untuk menyampaikan dialog-dialog dengan cara mereka sendiri.

"Kalau saya tengok, sebelum ini kebanyakan pengikut Kampung Pisang tertarik dengan dialog-dialog yang saya guna, jadi kali ini saya memperbanyakkan lagi dialog-dialog yang menarik dan senang untuk kaitkan dengan mesej yang saya nak sampaikan.

"Bukan itu sahaja, saya juga memberi kebebasan kepada pelakon-pelakon saya, untuk menggunakan dialog-dialog itu dengan cara penyampaian sendiri supaya ia nampak lebih original.

Lebih menarik lagi, watak-watak terdahulu seperti, Pak Jabit, Cik Purnama masih dikekalkan malah turut memperkenalkan watak sampingan baharu seperti Pak Kasim, Pak Din Pest Control dan Cik Chun.

Barisan pelakon terdiri daripada Bell Ngasri, Kazar Sairi, Aziz M. Osman, Dewa Sapri, Awie, Mat London, Sharwani, Latiff Zami, Joey Daud, Nazeera Sardi dan Jasper Supayah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain