suria

Esma Daniel sedih hasrat mangsa nahas helikopter Mohd Irfan nak terbit filem penerbangan tak kesampaian - “Arwah sangat teruja, sepatutnya kami jumpa minggu lepas”

Esma bertemu Irfan pada Ogos lalu bagi membincangkan mengenai filem berkaitan dunia penerbangan.

PEMERGIAN Mohd Irfan Mohamed Rawi yang merupakan salah seorang mangsa nahas helikopter di Taman Melawati, Ampang, Selangor pada pagi Ahad turut memberi kesan kepada aktor Esma Daniel.

Menurut Esma, 51, dia ada bertemu arwah pada Ogos lalu untuk berbincang mengenai perancangan menerbitkan sebuah filem berkaitan dunia penerbangan.

Kata Esma, mereka sepatutnya bertemu buat kali kedua pada minggu lalu namun tidak kesampaian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa sejak awal Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa nahas helikopter minta tolong ‘bubuh warna’ pada foto hitam putih... netizen tunai permintaan! - “Arwah baru post ni semalam”

"Bulan Ogos yang lalu kami berbincang untuk membuat filem mengenai helikopter... Arwah Irfan sangat teruja dan dalam masa sama saya akan menyediakan naratif cerita bagi menghasilkan sebuah filem aviation.

"Minggu lepas arwah ada ajak untuk bertemu tapi saya tangguhkan selepas habis PKPB... PKPB ini sedikit sebanyak melambatkan usaha melaksanakan projek kami ini," katanya.

Mohd Irfan ada perancangan hasilkan filem berkaitan dunia penerbangan.

Esma berkongsi mengenai perancangan arwah untuk menerbitkan filem ini menerusi laman Facebook.

Dalam hantarannya itu, dia turut berkongsi sekeping foto yang dimuat naik Irfan semasa pertemuan mereka pada Ogos lalu.

"Bikin filem dengan bro Esma Daniel. Perut tak sempat nak sorok," tulis Irfan pada status foto berkenaan.

Beliau yang saya kenal merupakan di antara orang pertama menerbangkan drone di Malaysia.

ESMA DANIEL

PELAKON

Sementara itu, Esma turut mengagumi kehebatan arwah dalam dunia penerbangan dan mendoakan supaya roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Beliau yang saya kenal merupakan di antara orang pertama menerbangkan drone di Malaysia.

"Semoga Arwah disemadikan bersama para syuhada. Salam takziah dari saya buat keluarga dan rakan-rakan," ujarnya.

Keadaan helikopter yang terhempas dalam nahas itu pada Ahad.

Dalam nahas itu, seorang lagi mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Mohamed Sabri Baharom, 56.

Punca nahas masih belum dikenal pasti tetapi laporan awal menyebut dua helikopter terbabit dipercayai bertembung di udara sebelum helikopter yang dinaiki Mohd Irfan dan Mohamed Sabri terhempas.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Penerbangan Malaysia Bhd (MAS) Datuk Ahmad Jauhari Yahya terselamat dalam kejadian nahas tersebut.

Ahmad Jauhari dan seorang lagi yang terselamat, Tan Chai Eian, 51, berada di dalam helikopter yang berjaya mendarat dekat sebuah sekolah Tamil berhampiran lokasi kejadian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain