Peminat hulur RM1,000 bantu Joey BPR bayar kompaun langgar SOP - “Tak minta, tapi orang nak bagi saya ambil”

Joey bersyukur ada individu bermurah hati membantu membayar kompaun RM1,000.

SELEPAS dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penyanyi Joey BPR mendedahkan dia dihubungi individu tidak dikenali menyatakan hasrat membantunya membayar denda tersebut.

Menurut Joey atau nama sebenarnya, Johari Mat Rozekhi, 57, dia terkejut apabila menerima mesej daripada seorang lelaki di aplikasi WhatsApp yang mahu memberi sumbangan bagi membayar kompaun berkenaan.

Cerita Joey, individu itu tergerak hati untuk menghubunginya selepas membaca hantarannya di laman Facebook mengenai kompaun berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Seandainya aku mati dulu, ampunkanlah segala dosa aku” - Joey BPR derita patah 4 tulang rusuk kemalangan motosikal

"Individu itu terbaca tentang perkongsian saya dan terus mesej nak hulurkan sumbangan RM1,000. Saya pun terkejut tak sangka ada yang nak bantu... sejujurnya saya tak kenal siapa lelaki itu, peminat atau wakil mana-mana pertubuhan pun saya tak pasti.

"Apabila dia kata nak bantu bayar, saya okay sahaja dan bagi nombor akaun bank... mula-mulanya saya janji nak bayar balik apabila dah ada duit, tapi dia menolak. Katanya dia ikhlas nak bantu. Alhamdulillah, duit itu pun sudah diterima!

Joey kongsi mesej perbualan dan surat kompaun yang diterima.

"Individu berkenaan memang tak mahu dikenali, saya ada muat naik mesej perbualan kami di Facebook tapi dia minta padam posting tersebut kerana tertera namanya, jadi saya delete dan muat naik semula tanpa nama," katanya kepada mStar.

Pada malam Sabtu, Joey dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka dan mencatat nama ketika memasuki sebuah kedai serbaneka di Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur.

Difahamkan, kedai terbabit juga melanggar SOP PKPB apabila beroperasi selepas pukul 10 malam.

Kalau kita buat baik, insyaAllah kita pun akan terima kebaikan daripada orang lain!

JOEY BPR

PENYANYI

Sementara itu, Joey berkata ini bukanlah kali pertama dia menerima sumbangan daripada individu tidak dikenali.

"Sejujurnya ini bukan kali pertama saya bertemu individu yang pemurah begini, sebelum ini ada beberapa individu tampil membantu... pernah ada seorang wanita masukkan duit semasa saya sakit dulu.

"Saya tak minta, tapi orang nak bagi saya ambil. Kita pun bukan banyak duit, kalau mereka rasa nak sumbang, kita terima... mereka pun tak minta publisiti, membantu dalam diam-diam.

Pemberi sumbangan minta Joey tak dedah maklumat diri.

"Saya pun tak berani nak hebahkan maklumat orang yang bagi sumbangan itu, sebab mereka sendiri minta supaya jangan didedahkan identiti jadi saya kena hormat permintaan itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Joey berkata ada hikmah dia dikompaun kerana dapat melihat masih wujud insan pemurah yang tidak lokek membantu.

"Saya tak kisah kena kompaun kerana sedar undang-undang itu untuk kebaikan kita semua. Tapi di sebalik apa yang terjadi saya nampak masih wujud insan berhati mulia dan pemurah.

"Mereka tahu kita orang susah, jadi mereka bantu. Ternyata di dunia yang penuh kerakusan ini masih ada mereka yang mengasihani.

"Apa yang saya kongsi ini bukan gimik atau rekaan... tetapi memang benar! Kalau kita buat baik, insyaAllah kita pun akan terima kebaikan daripada orang lain," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Kerja rumah sebenarnya tugas siapa?