Dikatakan sedang hamil selepas kongsi video nampak 'baby bump', Ain Edruce anggap ia satu doa - “Sudah setahun kahwin... siapa tak nak ada anak?”

Video Ain menari bersama suami di IG curi perhatian netizen.

PERKONGSIAN video Ain Edruce sedang menari yang menampakkan seakan-akan 'baby bump' di aplikasi TikTok baru-baru ini menarik perhatian netizen yang beranggapan pengacara itu kini hamil.

Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce, 29, menganggap spekulasi hamil itu adalah satu doa yang baik kepada dia dan suami.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi gambar dicium suami, Ain Edruce buntu dikecam netizen - “Twitter dah jadi toksik! Orang tak tahu agaknya saya dah kahwin”



Ain menganggap komen netizen mengatakan dia hamil satu doa.

"Itulah... semua orang komen baby bump, sebenarnya hamburger dan double cheese burger itu yang nampak macam baby bump kot.

"Tapi baru-baru ini ramai yang bertanya betul ke dan macam-macam orang buat spekulasi mengenai saya hamil. Apa yang boleh saya cakap sebenarnya saya anggap ia satu doa yang positif.

"Jadi, saya selalu amin kan doa mereka. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang berkata baik-baik untuk saya dan suami," kata Ain kepada mStar.

Spekulasi mengenai Ain sedang berbadan dua juga mula menjadi perbualan hangat selepas sesi temu bual dia bersama program Melodi yang bersiaran pada 18 Oktober lalu.

Siapa yang tak nak ada anak kan tapi saya tak boleh nak komen lebih.

AIN EDRUCE

PENGACARA

Menerusi temu bual tersebut, pihak Melodi bertanyakan mengenai gosip mengatakan pelakon drama 30 Pesanan Suara ini sedang hamil cahaya mata pertama.

Bagaimanapun, Ain tidak menafikan atau mengiyakan pertanyaan tersebut namun berharap semua orang mendoakan yang baik-baik untuknya.

Dalam pada itu, Ain mengambil segala komen netizen mengenai 'baby bump' itu sebagai sesuatu yang baik dan positif memandangkan sudah hampir setahun mendirikan rumah tangga.

Biarpun enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu namun Ain berjanji dia akan berkongsi kepada peminat sekiranya benar-benar diberikan rezeki zuriat.



Ain dan suami mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu.

"Bila saya baca komen netizen cakap fasal baby bump, saya rasa mereka ini sweet sangat sebab benda ini pun positif. Yela... saya pun dah nak dekat setahun berkahwin.

"Tapi apa yang boleh saya cakap... siapa yang tak nak ada anak kan tapi saya tak boleh nak komen lebih. Kalau la betul-betul ada rezeki (anak), nanti saya kongsikan berita gembira itu," ujarnya.

Ain mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan bernama Amirul Hafiz Mustaffa pada 13 Disember tahun lalu selepas mengikat tali pertunangan selama enam bulan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain