suria

Syahmi Sazli kecewa ada yang mengaku tonton ‘Mael Totey The Movie’ cara haram! - “Kasihanlah kru dan pelakon istimewa yang bekerja dari 8 pagi sampai 12 malam”

Filem pertama Syahmi dibarisi empat pelakon istimewa iaitu Bedul (dari kiri), Asif, Yoe Parey dan Yatin.

TANPA menggunakan barisan pelakon terkenal, filem arahan YouTuber Syahmi Sazli iaitu Mael Totey The Movie berjaya mengutip RM700,000 dalam masa satu hari ditayangkan di saluran Astro First.

Bagaimanapun, Syahmi meluahkan rasa kecewa apabila filem pertamanya itu turut menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan secara haram.

ARTIKEL BERKAITAN: Asif gemar berlakon tapi sukar hafal skrip, Syahmi Sazli muncul idea 'Drama Spontan'

"Saya terkejut apabila mendapat panggilan daripada pihak Astro semalam (Jumaat) mengatakan filem itu berjaya mengutip RM700,000 dalam masa satu hari ditayangkan.



Syahmi kongsi paparan skrin mesej individu memohon maaf menonton filem arahannya secara haram.

"Memang tak jangkakan dapat sambutan sebegitu memandangkan filem itu menggunakan barisan pelakon tak ada nama dalam industri dan tak pandai berlakon.

"Walaupun filem itu dikira berjaya pecah tradisi tapi sejujurnya saya rasa terkilan dengan segelintir pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan filem itu secara haram," kata Syahmi kepada mStar.

Terdahulu, Syahmi memuat naik paparan skrin mesej daripada individu yang mengakui menonton filem sulungnya itu secara haram tanpa bayaran.

Menerusi mesej tersebut, individu tersebut memohon maaf kepada Syahmi selepas menyesali perbuatannya menonton filem yang penuh mesej pengajaran itu secara haram.

Tapi kalau anda cetak rompak, macam mana nak dapat untung?

SYAHMI SAZLI

PENGARAH

Dalam pada itu, Syahmi yang berasal dari Kelantan ini berharap orang ramai menghormati dan menghargai usaha keras dia dan seluruh warga kerja filem tersebut.

"Setidak-tidaknya, kasihanlah kepada barisan kru dan pelakon istimewa yang bekerja keras menghasilkan yang terbaik. Mereka bekerja dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam.

"Filem ini pun saya hasilkan dengan menggunakan duit dari hasil titik peluh saya sendiri tanpa menggunakan dana daripada mana-mana pihak.

"Saya juga menyimpan hasrat untuk memberikan bonus kepada seluruh tenaga kerja sekiranya filem ini mendapat keuntungan. Tapi kalau anda cetak rompak, macam mana nak dapat untung?



Syahmi tiada masalah bekerjasama dengan Asif dan Yoe.

"Kalau ada yang minta maaf... tak apa la. Kalau ada rasa bersalah, langganlah semula filem itu di Astro First. Tapi kalau ada yang berbangga tonton secara haram, saya akan ambil tindakan selanjutnya," ujarnya.

Mael Totey The Movie (MTTM) mengangkat genre drama komedi sudah menemui penonton di pawagam rumah anda, Astro First bermula Khamis lalu.

Menarik filem ini menampilkan empat pelakon istimewa iaitu Yoe Parey, Asif Suhaimi, Samsul Anuar atau Bedul dan Yatin atau nama sebenarnya Mohd Yatin.

Selain itu, filem ini turut dibintangi bakat baharu iaitu Emaleen Minhad, Aween Ismail dan pelakon terkenal seperti Hushairi Husain, Daler Yusof, Aznah Hamid dan Kamarool Yusoff.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain