Asif gemar berlakon tapi sukar hafal skrip, Syahmi Sazli muncul idea 'Drama Spontan'

Syahmi nampak bakat Asif suka berlakon dengan menggunakan dialog spontan. Foto: SIA HONG KIAU.

LAKONAN remaja autisme yang dikenali sebagai Asif menerusi Drama Pendek Spontan di saluran Youtube Syahmi Sazli mendapat perhatian netizen yang terhibur dengan penggunaan loghat Kelantan dan gelagat spontannya.

Personaliti YouTube, Syahmi atau Muhammad Syahmi Sazli, 24, berkata idea menghasilkan drama tersebut tercetus apabila menyedari Asif yang juga sepupunya itu berminat beraksi di hadapan kamera tetapi mempunyai masalah menghafal skrip.

"Sebenarnya saya pernah cuba tampilkan Asif dalam drama pendek saya yang ada skrip pada tahun lalu selepas saya perasan dia memang suka sangat dengan kamera.

"Tapi lakonan Asif tak menjadi sebab dia tak boleh nak hafal skrip dan ikut apa yang sudah dirancang. Jadi, saya mula terfikir macam mana nak tukarkan kelemahan dia itu menjadi kekuatannya.

Asif diminati ramai disebabkan gelajat spontannya.

"Muncul la idea untuk buat drama pendek spontan dan kita beri kebebasan untuk Asif cakap ikut apa yang dia rasa tanpa skrip. Bagi saya, itulah keistimewaan dia yang membuatkan orang terhibur dengan gelagat spontannya," kata Syahmi kepada mStar.

Syahmi dan Asif atau nama sebenarnya Mohd Asyiff Suhaimi, 17, ditemui ketika sesi fotografi dan temu bual eksklusif bersama mStar di Menara Star, Petaling Jaya pada baru-baru ini.

Sementara itu, Syahmi memberitahu dia ada menerima tawaran berlakon daripada produksi TV untuk muncul dan bekerjasama dengan mereka.

Kata anak kelahiran Kelantan ini, ibu bapa Asif juga telah menyerahkan tanggungjawab kepadanya untuk menguruskan segala tawaran yang diterima remaja itu.

Keluarga dia pun hanya percaya pada saya seorang untuk uruskan segala tawaran yang diberikan untuk Asif.

Syahmi Sazli

Personaliti YouTube atau Youtuber

"Ada beberapa buah produksi TV yang panggil saya untuk berlakon tapi saya perlu melihat tarikh dahulu, kalau sesuai barulah saya boleh terima.

"Keluarga dia pun hanya percaya pada saya seorang untuk uruskan segala tawaran yang diberikan untuk Asif.

"Kalau ikutkan memang ramai pihak panggil Asif untuk tampil dalam program mereka tapi keluarga dia memang akan minta mereka tanya saya terlebih dahulu," ujarnya.

Semenjak kerap berlakon dalam video, Syahmi akui Asif banyak berubah sikap apabila dia sudah boleh bergaul dan menyesuaikan diri dengan orang sekeliling.

Syahmi tidak merancang untuk mengembangkan produksinya di Kuala Lumpur.

Sikap Asif yang tahu menjaga batas pergaulan dengan pelakon wanita yang dikenali sebagai Wanie menerusi drama tersebut turut mendapat perhatian.

Untuk rekod, Syahmi Sazli memulakan kerjayanya sebagai Youtuber pada 2016 selepas video lucunya berdurasi seminit yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya menjadi tular.

Bakat Syahmi Sazli dalam pembikinan drama pendek yang lucu dan penuh pengajaran juga mendapat pujian apabila hasil karyanya sering menjadi trending di YouTube serta mendapat tontonan lebih 1 juta dalam masa yang singkat.

Syahmi Sazli, Asif, Youtube

Artikel Berkaitan

Artikel Lain