suria

Semua terselamat konsert minggu ketiga GV7 kerana Yantzen tak bertanding - “Dia sakit tak boleh nak elak, tak patut ada penyingkiran”

Yantzen tidak bertanding kerana tidak sihat dan Ayu Damit mendapat markah tertinggi.

TIADA penyingkiran pada konsert minggu ketiga Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam Ahad.

Ini berikutan salah seorang peserta iaitu Yantzen tidak dapat bersaing kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Ketua juri iaitu Datuk Ramli MS berpendapat adalah tidak adil jika ada bintang GV7 yang tersingkir kerana ketiadaan salah seorang peserta.

ARTIKEL BERKAITAN: Masalah tempo, Haslinda jadi peserta pertama tersingkir GV7, netizen luah rasa tak puas hati - “Dia nyanyi lagi bagus dari peserta lain!”

"Dia sakit jadi benda tu tak boleh nak elakkan... dia dalam pertandingan jadi penyingkiran tak patut ada pada harini, kena bawa minggu hadapan," kata Ramli.

Konsert minggu ini menyaksikan kumpulan Indigo mendapat markah paling rendah iaitu sebanyak 50.6 peratus namun terselamat daripada penyingkiran.



Persembahan Noraniza Idris terima pujian daripada juri jemputan.

Sementara itu penyanyi Ayu Damit menerima markah tertinggi iaitu 80.6 peratus diikuti Noraniza Idris (73.4) dan Linda Nanuwil (70.8).

Konsert minggu ini bertemakan ‘Cuba Try Test’ merupakan cubaan bintang GV7 membawakan lagu berlainan genre.

Dalam konsert minggu ketiga ini, Nomad menyampaikan lagu Aku Skandal nyanyian asal Hujan, Ashira (Penasaran/ Krisdayanti), Aju (I Love You I Miss You/ Ukays), Indigo (Cinta Abadi/ Blackrose), Rozita Izlyn (Di Dadaku Ada Kamu/ Amelina) dan Cliff Umar (Keroncong Untuk Ana/ Kembara).

Selain itu, kumpulan Eva mempersembahkan lagu Hang Pi Mana yang dipopularkan oleh Khalifah, Oja (Satu Peluang/ Andi Bernadee), Yantzen (Malam Ini Kita Punya/ Bunkface), Noraniza Idris (Akan Ku Tunggu/ Candy), Muss (Syair Laila Majnun/ Ramli Sarip), Ayu Damit (Senyuman Ragamu/ Gerhana Sky Cinta dan Radhi) dan Linda Nanuwil (Akar dan Bumi/ Amuk).

Kesemua peserta diadili oleh dua juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim serta juri jemputan minggu ini ialah Datuk Syafinaz.



Indigo terselamat daripada penyingkiran.

GV7 dikendalikan oleh pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Dalam pada itu, segmen kongsi rezeki menyaksikan penyanyi Mimi Loma menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada pihak penaja iaitu Farm Fresh dan Astro.

Anugerah Digi Next Level dimenangi oleh Oja manakala pemenang Bintang Cuckoo turut menjadi milik Oja.

Juara Gegar Vaganza musim ketujuh bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain