suria

Ropie teringin bawa watak serius tapi muka dah dicop sebagai pelawak - “Sekarang ini pelakon komedi tak macam dulu...”

Ropie (kanan) selesa bawa watak komedi dalam drama atau filem.

SERING diberikan watak komedi, pelawak Ropie berkata dia terbuka jika ada pengarah atau penerbit yang mahukan dia membawa karakter yang lebih serius dalam drama atau filem.

Ropie bagaimanapun berkata, sehingga kini tiada lagi tawaran watak sebegitu berikutan dia lebih menonjol sebagai seorang pelawak.

"Selalunya tawaran lakonan memang untuk watak komedi sahaja, tak ada lagi watak lain... sejujurnya saya memang nak bawa watak serius tapi ramai pengarah kata rugi sebab itu tak ada peluang.

ARTIKEL BERKAITAN: Ropie ‘flashback’ zaman sebelum jadi artis, pernah jual minyak wangi - “Saya dulu pendiam, tapi teringin masuk TV!”

"Sebelum ini hanya ada tiga pengarah sahaja yang beri saya watak serius iaitu Liza Ismail, Zul Arshad dan Ghani G, selepas itu tawaran banyak untuk watak komedi sahaja.

"Susah nak dapat watak lain sebab orang dah cop kita pelawak... macam Ebby Yus dan Bell, bila dah buat komedi, orang tak panggil untuk watak serius," katanya kepada mStar.



Ropie tetap bersyukur terima banyak tawaran watak komedi.

Sementara itu, pelakon berusia 53 tahun ini berkata dia tidak terkilan atau berkecil hati meskipun tiada tawaran membawa watak selain komedi.

Malah, dia mengakui karier sebagai pelawak turut memberi pulangan serta hasil berbaloi sama seperti pelakon lain.

Alhamdulillah, sekarang ni stesen televisyen buat pelbagai rancangan komedi, pelawak pun dah okay.

ROPIE

PELAWAK

"Walaupun tak ada tawaran watak serius tapi saya tak terkilan sebab jiwa saya sebelum jadi artis memang nak jadi pelawak.

"Sekarang ini jadi pelawak tak macam dulu... Alhamdulillah, sekarang ni stesen televisyen buat pelbagai rancangan komedi, pelawak pun dah okay.

"Mungkin saya tidaklah sehebat mereka cuma okaylah berbaloi, tolak sana sini lepaslah untuk hidup," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain