Shiha Zikir ‘terkena’ lagi! Jumlah tontonan video muzik di YouTube ‘ghaib’ - “Ia berlaku dengan kerap”

Jumlah tontonan video klip lagu terbaharu Shiha berjudul AEWO hilang lebih 200,000.

PENURUNAN jumlah tontonan single terbaharu Shiha Zikir berjudul AEWO di saluran YouTube secara kerap mengundang kemusykilan daripada syarikat pengurusan penyanyi itu iaitu Todak Fusion Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Todak Fusion, Ikmal Fareeq berkata, video muzik tersebut berkemungkinan besar boleh mencecah 1 juta tontonan jika perkara berkenaan tidak berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagu belum lancar... imej dah kena kritik, Shiha Zikir minta peminat bersabar - “Artis luar boleh terima, tapi tidak penyanyi tempatan?”

Musykil dengan situasi berkenaan, pihaknya segera menyuarakan permasalahan tersebut kepada pihak YouTube dan sehingga kini masih menunggu maklum balas daripada mereka.



Ikmal mahukan penjelasan mengenai masalah yang berlaku daripada pihak YouTube.

"Penonton ‘ghaib’ atau penurunan jumlah tontonan ini sukar untuk kami fahami. Jika ia sudah ditonton, bagaimana penurunan boleh berlaku? Adakah ini perkara normal atau ada sesuatu yang tidak kena?

"Tambah musykil, turun naik jumlah tontonan muzik video AEWO ini berlaku secara kerap. Setiap kali mencecah 300,000 tontonan sahaja, pasti berlaku penurunan yang banyak pada minggu yang sama.

"Rekod paling rendah adalah 170,000 penonton. Jika hal ini tidak berlaku kemungkinan besar muzik video AEWO sudah mencecah 1 juta tontonan sekarang.

Kami berharap pihak YouTube dapat memberi penjelasan mengenai permasalahan yang berlaku.

IKMAL FAREEQ

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF TODAK FUSION

"Bagi mendapatkan penjelasan, permasalahan ini telah kami suarakan kepada pihak YouTube dan masih menunggu jawapan maklum balas mereka," katanya.

Sejak dilancarkan pada 5 Ogos lalu, vidoe muzik AEWO berjaya mencecah lebih 100,000 tontonan dalam tempoh kurang 24 jam dan menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen sehingga tular.

Bagaimanapun selepas seminggu ia ditayangkan, penonton AEWO 'ghaib' apabila jumlahnya merudum sehingga 170,000, berbanding catatan tertinggi 381,095 pada hari kelima dilancarkan.

Dalam pada itu, Ikmal mengakui proses menghasilkan video klip tersebut memerlukan perancangan yang teliti dan membabitkan kreativiti secara berpasukan.



Penurunan jumlah tontonan yang mengundang kemusykilan pihak pengurusan Shiha.

Susulan itu, dia memohon agar pihak YouTube memberi penjelasan berhubung permasalah yang berlaku dan turut berharap jumlah penonton yang hilang itu dapat dikembalikan.

"Todak Music, Shiha Zikir selaku penyanyi, penari latar dan seluruh tenaga produksi yang terbabit bertungkus-lumus dalam mengeluarkan idea bagi menghasilkan sebuah muzik video bertaraf antarabangsa.

"Kami ingin membuktikan bahawa industri kreatif di Malaysia tidak pernah ketinggalan, kita juga mampu mencipta karya setanding K-Pop yang mendominasi pasaran muzik global ketika ini.

"Oleh kerana usaha optimum yang dicurahkan inilah, kami berharap pihak YouTube dapat memberi penjelasan mengenai permasalahan yang berlaku, dengan harapan penonton AEWO dapat dikembalikan," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain