suria

Pengarah Bade Hj Azmi terlibat kemalangan selepas pulang dari penggambaran drama ‘Sebelum Pulang’

Kesemua mangsa dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah.

PENGARAH Bade Hj Azmi dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bentong, Pahang semasa dalam perjalanan pulang dari Terengganu.

Menurut Penerbit Switch On Entertainment Sdn Bhd, Ritz Tahir, kemalangan berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menjalani penggambaran telefilem berjudul Sebelum Pulang.

"Kami semua baru selesai menjalani penggambaran telefilem Sebelum Pulang di Terengganu. Selain Bade, ada empat lagi penumpang lain yang terdiri daripada kru produksi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bade Azmi Nafi Adi Putra, Johan As'ari 'Buat Hal'

"Mereka dikejarkan ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan lanjut dan semuanya okay! Doktor benarkan mereka pulang dan Bade pun sekarang tengah berehat di rumah.

"Alhamdulillah, semuanya stabil dan selamat, cuma kereta agak teruk," katanya kepada mStar.

Kereta dipandu pembantu Bade alami kerosakan teruk.

Kemalangan itu menyebabkan kereta jenis Honda CRV yang dipandu mengalami kerosakan teruk.

Sementara itu, pelakon Amyza Aznan turut memuat naik foto dan maklumat mengenai insiden tersebut di laman Instagram miliknya.

"Saya dapat Whatsapp dari kawan, pengarah terkenal Bade Hj Azmi mengalami kemalangan di Bentong semasa dalam perjalanan pulang dari Terengganu setelah kami selesai penggambaran telefilem Sebelum Pulang.

Amyza berkongsi maklumat di Instagram.

"Keadaan dilaporkan stabil. Sama-sama kita doakan semoga yang terlibat berada dalam keadaan selamat. Petang nanti saya akan ke Hospital Bentong," katanya.

Usaha mStar menghubungi Bade tidak berjaya apabila panggilan telefon tidak berjawab.

Selain Amyza Aznan, telefilem Sebelum Pulang turut dibintangi oleh pelakon Nad Zainal, Datuk Jalaluddin Hassan dan Wan Maimunah.

Dalam perkembangan yang lain, Bade kini sedang rangka promosi filem terbaharunya berjudul Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang bakal menemui penonton di pawagam pada Khamis ini.

Bade Hj Azmi, Sebelum Pulang

Artikel Lain