Anak Jamal Abdillah, Zaki Yamani enggan tumpang populariti bapa - “Jarang tengok baba nyanyi... dia pun baru tahu saya ada lagu”

Zaki mahu berdiri di atas bakat sendiri. Foto: YAP CHEE HONG

ANAK kepada penyanyi Datuk Jamal Abdillah iaitu Zaki Yamani berkata dia enggan dikenali dengan pengaruh bapa, sebaliknya mahu mencipta nama atas bakatnya sendiri.

Menurut Zaki, 14, langkah awal dalam industri ini tidak diketahui oleh bapa dan pembabitannya dalam bidang ini adalah kerana minat yang terlalu mendalam.

"Sebenarnya, sejak usia empat tahun saya dah minat menyanyi, jadi tahun ini saya fikir sudah sampai waktu untuk saya kembangkan lagi bakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Jamal Abdillah Pastikan Anak Fokus Pelajaran

"Mungkin kerana darah seni itu ada dalam tubuh membuatkan minat saya terhadap bidang seni tinggi... walaupun sebenarnya saya jarang tengok baba (panggilan untuk Jamal) menyanyi.

"Baba pun baru tahu saya ada lagu baharu, sebelum ni dia tak tahu pun! Kalau boleh saya mahu berdiri di atas kaki sendiri," katanya kepada mStar.

Zaki jadikan Hael Husaini sebagai idola dan inspirasi dalam bidang seni.

Dalam pada itu, Zaki berkata dia mengagumi kesungguhan dan semangat tidak mudah putus asa yang ditunjukkan oleh penyanyi, Hael Husaini.

Menjadikan komposer muda itu sebagai idola, Zaki berharap satu hari nanti bakatnya turut mendapat perhatian ramai.

Lagu ini ada kaitan dengan diri saya, sebelum ini saya pernah putus asa, jadi lagu ini dihasilkan untuk menaikkan semangat saya dan kita semua!

ZAKI YAMANI

PENYANYI

"Saya menjadikan Hael Husaini sebagai inspirasi sebab saya kagum dengan perjalanan seninya dari awal sehingga kini.

"Dia pernah jatuh dan ambil masa 10 tahun untuk naik, bagaimanapun dia tetap tak putus asa... jadi saya mahu tiru dan guna kekuatan untuk berdepan dengan cabaran industri seni," ujarnya.

Single pertama berjudul Percayaku merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Zaki.

Bercakap mengenai single terbaharu, Zaki memberitahu dia kini sedang dalam rangka promosi lagu berjudul Percayaku.

Lagu tersebut dihasilkan bagi memberi semangat kepadanya agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.

"Sekarang ini saya tengah promo single pertama ciptaan saya sepenuhnya berjudul Percayaku. Lagu ini dihasilkan pada tahun lepas, mula-mula tu sajalah buat sekali apabila dengar balik sedap pula!

"Saya tanya pendapat ibu dan dia bersetuju untuk jadikan sebuah lagu, tiga bulan kemudiannya lagu ini siap dan dilancarkan untuk pendengar.

"Lagu ini ada kaitan dengan diri saya, sebelum ini saya pernah putus asa, jadi lagu ini dihasilkan untuk menaikkan semangat saya dan kita semua!," katanya.

Zaki Yamani, Jamal Abdillah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain