suria

Kisah curang Aliff Aziz, Emma Maembong buka tudung dan rumah tangga ustaz selebriti antara 10 terpanas 2019!

Tahun 2019 hangat dengan pelbagai kontroversi membabitkan artis dan pendakwah selebriti.

DUNIA hiburan tanah air hangat dengan pelbagai kontroversi dan cerita panas membabitkan selebriti sepanjang tahun 2019.

Boleh dikatakan kebanyakan kontroversi yang timbul bermula daripada media sosial, sekaligus mendorong ia tular dengan lebih pantas.

Malah, media sosial juga kini menjadi ruang untuk selebriti serta netizen menulis luahan dan kritikan secara terbuka.

Ini mStar senaraikan beberapa isu terhangat industri hiburan Malaysia sepanjang tahun ini.

1. Video pesta arak dan tekanan mental

Permulaan tahun yang kurang baik buat bekas juara Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Haneesya Hanee apabila kemenangannya dalam pertandingan itu ditarik balik setelah tersebar video pesta arak di laman sosial.

Haneesya dan Zynakal berdepan tekanan menjadi mangsa buli siber.

Gara-gara video tersebut, Haneesya diserang netizen dan menjadi mangsa buli siber sehinggakan apa sahaja yang dilakukan mendapat kritikan.

Selain itu, penyanyi rap Zynakal turut menjadi mangsa buli siber sehingga memberi tekanan serta bertindak agresif mencederakan seorang pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.

Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, Zynakal disahkan menghidap bipolar mania dan mendakwa kisah silam yang dipendamnya selama ini dipercayai menjadi punca kepada masalah tekanan perasaan.

2. Selebriti bertemu jodoh, tamatkan zaman bujang

Tahun 2019 menyaksikan beberapa selebriti menamatkan zaman bujang mereka dengan pasangan pilihan.

Antara selebriti yang memilih tahun ini untuk menamatkan zaman bujang.

Selepas episod duka dan putus tunang dengan Sufian Shuhaimi, pelakon Elfira Loy akhirnya memilih untuk berkahwin dengan Faris Khairol Anwar pada 1 Januari.

Sementara itu, pasangan selebriti yang berkahwin tahun ini ialah Fasha Sandha dengan Aidil Aziz pada 30 Mac, diikuti oleh Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana pada 1 September.

Selebriti lain yang turut menamatkan zaman bujang ialah Bella Dally bersama pasangannya Arif Izuddin (31 Mac), Nelydia Senrose dan Mohd Hafez Halimi (6 April), Zamani dan Nur Juliana (20 September) dan Eyra Hazali bersama pemain bola sepak Mohammad Haziq Nadzli (1 November).

Selain itu, Sarah Hildebrand dan pasangan Otto Gillen (3 November), Ain Edruce dan usahawan Amirul Hafiz (13 Disember), Farah Nabilah dan Mohammed Amirul Yunos (20 Disember), Fara Hezel dan Tengku Kamal (20 Disember), Datuk Eizlan Yusof dan Natasha Rosa Boudville (12 Disember).

Tajul rahsiakan perkahwinan.

Pada Oktober lalu, penyanyi Tajul mengejutkan peminat apabila membuat pengumuman mengenai status dirinya yang sudah berkahwin sejak 10 Disember 2017.

Menurut Tajul, dia terpaksa merahsiakan mengenai perkahwinannya dengan Nurul Shamieza Eddie kerana bimbang akan kehilangan peminat ketika sedang membina nama dalam industri seni selain enggan mencampurkan urusan peribadi dengan kerjaya.

3. Gugurnya permata seni yang tak terganti

Yang hidup pasti akan mati, begitulah janjiNya kepada kita. Saban tahun, pasti akan ada penghibur kesayangan ramai pergi meninggalkan kita.

Tahun 2019 menyaksikan industri kehilangan penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A. Rahman Hassan yang meninggal dunia pada 13 Jun akibat strok dan pendarahan pada bahagian otak.

Mereka yang pergi tiada galang ganti.

Turut pergi meninggalkan kita penyanyi veteran Datuk Dahlan Zainuddin pada 28 Mei yang sebelum itu koma selama empat hari akibat serangan angin ahmar.

Juga meninggalkan kesan ialah pemergian pemain dram kumpulan Search iaitu Yazit atau nama sebenarnya Yazit Ahmad pada 26 September selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat kerosakan otak.

Pemergian penyanyi terkenal era 80-an, Datuk Nassier Wahab turut menjadi perkhabaran duka seluruh penggiat industri seni tanah air. Allahyarham meninggal dunia pada 5 Disember selepas disahkan sudah lima tahun menghidapi penyakit kanser gusi.

Pemergian anak kepada pelawak AR Badul, Mejar Mohd Zahir Armaya kejutkan ramai pihak.

4. Selebriti kehilangan ahli keluarga tersayang 

Dunia hiburan turut dikejutkan dengan kehilangan beberapa anak selebriti sepanjang tahun 2019 antaranya pemergian anak kepada pelawak terkenal AR Badul iaitu Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut selepas tertembak semasa mengadakan demonstrasi pada 4 September.

Turut menyayat hati ialah pemergian anak kedua penyanyi Nora Ariffin iaitu Alif Johan yang meninggal dunia secara mengejut pada 14 Disember lalu. Untuk rekod, Nora sebelum ini kehilangan suaminya iaitu Johan Nawawi yang juga komposer terkenal pada 24 Mac 2017.

Penyanyi Azian Mazwan Sapuan turut diuji selepas anaknya iaitu Mohamad Aqil Zulkarnain, 19, menghembuskan nafas terakhir pada 16 Disember lalu selepas koma selama tiga minggu akibat kemalangan jalan raya.

Shah dan Ali Putih masing-masing kehilang cahaya mata yang masih bayi.

Turut terkesan ialah pelakon Abby Abadi yang kehilangan anaknya iaitu Muhammad Danial Firman Faizal yang meninggal dunia akibat komplikasi pada hati selepas lebih dua bulan bertarung nyawa.

Antara selebriti lain yang kehilangan cahaya mata yang masih bayi ialah penyampai radio THR Gegar iaitu Shah Muhammad, anak pelawak Ali Putih, dan juga anak kepada penyanyi Azizul Haqim.

Semoga semua yang pergi mendapat tempat dikalangan insan beriman, Al Fatihah.

5. Pelbagai kontorversi melibatkan Aliff Aziz sepanjang tahun 2019

Kontroversi melibatkan penyanyi dan pelakon Aliff Aziz menjadikan namanya antara 10 selebriti dicari enjin carian Google sepanjang 2019.

Bekas isteri penyanyi itu iaitu Bella Astilla membuat pendedahan bahawa Aliff menjalinkan hubungan hubungan istimewa dengan pelakon baharu Oktovia Manrose.

Aliff Aziz dan Bella bercerai.

Selang beberapa bulan, nama Aliff kembali menjadi perhatian apabila foto dia tidak berbaju bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Nismell dalam berpakaian seksi tersebar di laman sosial.

Belum reda kontroversi itu, muncul pula beberapa keping foto mesra penyanyi berkenaan dengan seorang janda dan membuatkan Bella mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Mei lalu.

Selepas isu kecurangan, Aliff berterusan mencetuskan kontroversi seperti penyebaran foto badannya dipenuhi lukisan tatu, didakwa mencuri telefon bimbit, meminjam sejumlah wang dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

6. Tidak mahu hipokrit, Emma Maembong dan Fathia Latiff buka tudung

Nama pelakon Emma Maembong dan Fathia Latiff antara yang menjadi sebutan pada awal tahun 2019 apabila mereka memilih untuk tidak lagi bertudung.

Bukan itu sahaja, dua foto yang dipercayai Emma bersama seorang lelaki yang mirip abang kepada Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman iaitu Syed Abdullah tersebar sehingga menjadi bualan hangat netizen.

Emma dan Fathia buka tudung.

Selepas kecoh penyebaran foto tersebut, akhirnya Emma mengakui dia adalah individu dalam imej tersebut bersama Syed Abdullah.

Manakala Fathia turut menjadi topik hangat netizen apabila tampil dengan imej berambut pendek dalam sebuah acara fesyen.

7. Jodoh tak panjang, pasangan selebriti ambil keputusan bercerai

Kisah perceraian bermula dengan pelakon Fizo Omar dan bekas isterinya, Mawar Abdul Karim yang akhirnya mengambil keputusan untuk bercerai pada 10 Julai lalu selepas enam tahun berkahwin.

Pelakon Rashidi Ishak turut mengejutkan dunia hiburan apabila mengakui sudah bercerai dengan aktres Vanida Imran pada 9 Ogos tahun lalu.

Antara artis yang memilih untuk berpisah.

Selain Fizo dan Rashidi, rumah tangga vokalis kumpulan OAG iaitu Radhi, anggota kumpulan Bunkface, Sam dan penerbit Datuk A. Aida turut berakhir pada tahun ini.

Manakala ikatan perkahwinan Adira dan Datuk Red hampir berakhir namun penyanyi itu telah mengambil keputusan untuk menarik semula permohonan cerai terhadap suaminya.

Kes perceraian melibatkan pelakon Sharnaaz Ahmad dan isternya Noor Nabila Mohd Noor serta Lufya Omar dan suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz masih dalam perbicaraan sehingga tahun hadapan.

8. Kontroversi rumah tangga ustaz selebriti dapat perhatian netizen

Perihal rumah tangga golongan pendakwah yang lahir daripada program realiti atau digelar ustaz selebriti turut mendapat perhatian netizen.

Ia bermula dengan isu Pencetus Ummah (PU) Abu menceraikan isterinya, Ain Afini yang ketika itu sedang sarat hamil anak pertama demi mengahwini seorang janda anak satu bernama Hana Azraa.

Masalah rumah tangga pendakwah muda, PU Abu dan Da'i Farhan jadi perbualan netizen.

Gosip panas itu menjadi perhatian netizen yang rata-ratanya kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab Abu sehingga nama PU Abu tersenarai sebagai antara 10 individu paling dicari bagi tahun 2019 menerusi enjin carian Google.

Tidak cukup dengan itu, timbul lagi kontroversi melibatkan seorang lagi pendakwah kelahiran rancangan realiti program Da'i iaitu Nik Ahmad Farhan yang berkahwin dengan seorang janda anak lapan di Tanah Suci Makkah.

Perkara itu menimbulkan kemarahan netizen berikutan perkahwinan kedua ustaz selebriti itu berlaku tanpa pengetahuan isteri pertamanya iaitu Fatin Nurul Ain Mat Aris yang sedang sarat hamil anak kedua mereka.

9. Cinta tak kesampaian, ramai selebriti putus tunang

Pasangan selebriti Awi Rafael dan Atikah Suhaime mengejutkan dunia hiburan apabila mengumumkan mengenai pembatalan perkahwinan mereka dua hari sebelum majlis berlangsung.

Selain Awi dan Atikah, pelakon Syafie Naswip dan Aishah Azman juga mengesahan ikatan pertunangan mereka bina sejak tiga bulan lalu telah terlerai pada 21 Julai lalu.

Putus tunang.

Kisah itu antara yang mendapat perhatian ramai apabila aktor filem Songlap itu turut ditahan polis bagi membantu siasatan kes ugutan dan penyebabkan kecederaan terhadap bekas tunangnya itu.

Selain itu, turut mendapat perhatian ikatan pertunangan pelakon Hafreez Adam dan Zara Zya yang hanya bertahan sebulan.

Menurut Hafreez, dia dan Zara sebelum ini pernah mencuba beberapa kali untuk menyelamatkan hubungan itu namun tiada jalan penyelesaian selain mengakhiri hubungan itu.

10. Gejala buli siber, artis saman netizen

Penyanyi Linda Rafar muncul sebagai antara selebriti pertama yang mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen yang melemparkan kata-kata kesat terhadapnya.

Tindakan Linda itu mengejutkan industri hiburan apabila dia membuat keputusan untuk mengambil tindakan ke atas lebih 100 individu yang melemparkan kecaman berhubung dakwaan memfitnah seorang jururawat pada Januari lalu.

Selain Linda, Misha Omar menjadi selebriti kedua yang mengambil tindakan undang-undang ke atas dua individu yang memfitnah kononnya dia menggunakan ilmu sihir bagi membolehkan dia memenangi pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33).

Misha dan Rita Rudaini antara artis yang mahu ambil tindakan terhadap netizen.

Tidak serik mengenai laporan dua selebriti yang mengambil tindakan saman ke atas beberapa individu sebelum ini, insiden sama terjadi lagi kepada pelakon Jasmin Hamid.

Perkongsian beberapa keping foto Jasmin bersama anak angkatnya itu menerima kritikan sehingga ada yang menghina wajah selain turut mengelar wanita itu mak nyah.

Selain itu, Datuk Fizz Fairuz mengambil tindakan terhadap sebuah akaun Instagram yang menyebarkan gosip artis iaitu Makcik Puaka yang mengaitkan seorang individu bergelar Datuk Seri dicekup khalwat.

Selain itu, aktres cantik, Rita Rudaini juga antara yang menjadi perhatian apabila ada netizen yang mempersoalkan status sah taraf anak lelakinya dengan bekas suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain