suria

Hawa Rizwana tepis gosip cinta dengan 3 artis popular - “Saya nak lelaki matang, penyayang... paling penting kena kenal bapa dulu”

Hawa belum terfikir lagi mengenai teman lelaki dan mahu fokus dengan kerjaya.

TAHUN ini nama penyampai berita TV3, Hawa Rizwana Redzuan menjadi sebutan netizen apabila terpalit gosip kononnya dia sedang mengenali beberapa selebriti lelaki.

Meskipun khabar angin itu telah berlalu, Hawa berkata dia sentiasa berfikiran terbuka dan tenang berdepan sebarang gosip kerana menganggap ia hanyalah salah faham dan berlaku secara kebetulan.

"Saya ingat lagi sebelum ini ada yang kaitkan saya dengan Sufian Shuhaimi dan Fizo Omar... sebenarnya itu semua salah faham sahaja. Ceritanya kedua-dua mereka kenal ayah saya yang juga merupakan pensyarah di kampus pengajian mereka dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak rasa dia nak 'try' sebab...” - Hawa Rizwana jawab mengenai hubungan dengan Fizo Omar

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kembar’ Neelofa, Anak Aziz Desa Jadi Pembaca Berita

"Tiada istilah bercinta, kami hanya kawan biasa. Semua yang berlaku itu hanya kebetulan dan saya sudah jelaskan situasi sebenar.

"Gosip dengan Zizan pula timbul selepas viral video terbitan mStar pada September lalu dan ia mula menjadi perbualan ramai... memandangkan saya juga merupakan seorang wartawan jadi kami pernah kenal di lokasi tugasan, itu sahaja," katanya kepada mStar.

Nama Sufian, Zizan dan Fizo pernah dikaitkan dengan Hawa.

Mengakui masih belum berpunya, gadis berusia 24 tahun ini berkata dia mencari seorang lelaki yang matang dan penyayang untuk dijadikan kekasih.

Namun yang menjadi keutamaan ialah lelaki itu haruslah mengenali bapanya, Profesor Datuk Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman dan menerima restu keluarga terlebih dahulu.

"Saya tak pernah meletakkan ciri-ciri khas untuk bakal kekasih, kalau rasa serasi okay sahaja... cumanya kalau boleh dia seorang lelaki yang bertanggungjawab, matang, setia dan penyayang.

"Yang paling penting kena dapatkan kebenaran dan kenal ayah saya dulu, tapi buat masa ini saya belum terfikir lagi tentang hubungan cinta kerana fokus saya adalah kerjaya dan ingin menamatkan pengajian master terlebih dahulu," ujarnya.

Hawa dapatkan nasihat bapa terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu.

Bercakap mengenai karier pengacaraan, Hawa berharap orang ramai memandang pada bakatnya dan tidak terus dibayangi sebagai gadis berwajah Neelofa.

"Saya mengagumi Neelofa sebagai seorang ikon wanita berjaya dan berharap satu hari nanti akan mengikut jejak langkahnya.

"Dikatakan wajah seiras itu tiada masalah cumanya kalau boleh saya nak dikenali kerana bakat yang ada.

"Semoga tahun 2020 membawa lebih banyak perkara baik dalam hidup saya dan dalam masa sama saya mahu memperbaiki kemahiran serta ilmu dalam bidang ini," katanya yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana di sebuah universiti awam.

Artikel Lain