“Setiap hari terima gangguan, dah letih nak sekat” - Joy Revfa harap pihak berkuasa ambil tindakan terhadap akaun palsu hantar mesej lucah

Joy bengang dengan tindakan seorang pengguna Instagram yang menghantar foto dan mesej lucah.

GOLONGAN artis dan personaliti media sosial merupakan individu yang kerap berhadapan dengan masalah gangguan seksual dan menerima mesej berunsur lucah di platform tersebut.

Begitu juga dengan usahawan kosmetik, Joy Revfa mendedahkan dia juga merupakan salah seorang mangsa gangguan seksual di Instagram apabila kerap menerima mesej dan foto lucah daripada individu yang menggunakan akaun palsu.

Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, berkata biarpun sudah mengambil langkah menyekat beberapa akaun namun masih ramai individu yang melakukan perbuatan terkutuk itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan nampak sangat seolah-olah terdesak nak pasangan” - Peminat salah sangka Joy Revfa kecewa sikap buruk teman, nafi tuju kepada kekasih

"Hampir setiap hari saya kena gangguan seksual dan terima mesej serta foto lucah daripada individu yang guna akaun palsu. Dah beberapa kali saya sekat tapi masih tetap diganggu mereka ini.

Joy dedah foto lucah yang diterima di laman Instagram.

"Sampaikan dah letih asyik nak sekat akaun yang lakukan perbuatan terkutuk macam ini. Bagi saya, gangguan seksual di laman sosial semakin berleluasa dah sekarang ini,” katanya kepada mStar.

Pada Khamis lalu, bekas isteri kepada penyanyi Hafiz Hamidun ini ada memuat naik status dan paparan skrin mesej serta foto lucah yang diterimanya menerusi laman Facebook.

Menerusi status tersebut, Joy mahu penjenayah siber berkenaan ditangkap pihak berkuasa memandangkan perbuatan tersebut sudah dianggap melampaui batas dan bimbang keselamatan wanita di luar sana.

Joy mahu tindakan diambil terhadap mereka yang melakukan jenayah siber itu.

"Ada sesiapa kenal pasti penjenayah gangguan seksual macam mamat ni? Sumbat dalam lokap terus pun tak apa! Dah melampau sangat mereka ini.

"Dah sekat pun masih diganggu lagi! Tak boleh dibiarkan takut nanti anak-anak dara orang semua dia ganggu,” tulisnya.

Terdahulu, beberapa selebriti tanah air turut pernah menjadi mangsa gangguan seksual di media sosial antaranya Baby Shima, Zizi Kirana, Azar Azmi dan Wan Sharmila.

Joy Revfa

Artikel Berkaitan

Artikel Lain