Bagai bulan jatuh ke riba! Anzalna Nasir bakal lahir anak lelaki - Hiburan | mStar

Bagai bulan jatuh ke riba! Anzalna Nasir bakal lahir anak lelaki

IMPIAN keluarga Anzalna Nasir ingin mempunyai generasi lelaki akhirnya tercapai dengan kelahiran cahaya mata pelakon itu tidak lama lagi.

Anzalna, 31, berkata kehadiran bayi lelaki merupakan kejutan buat dirinya dan sekaligus memenuhi impian bapa serta keluarganya.

“Alhamdulillah saya sangat gembira dan Hanif pun mahukan anak lelaki. Kalau nak ikutkan keluarga sebelah saya pula memang 'kaya' perempuan.

“Apabila saya dapat tahu bakal dapat bayi lelaki, saya sendiri pun terkejut. Impian bapa dan keluarga saya juga tercapai.

“Sebenarnya, sebelum ini bapa saya tunggu nak ada anak lelaki tak dapat. Selepas itu, tunggu cucu lelaki pun tak dapat juga,” kata Anzalna kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saat paling saya nantikan” - Anzalna umum hamil empat bulan


Anzalna umumkan jantina anak pada Khamis.

Anzalna yang ditemani suaminya ditemui ketika acara Baby Gender Reveal di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada Khamis.

Kandungan Anzalna kini memasuki lapan bulan dan dijangka bakal menyambut kelahiran cahaya mata pertamanya pada awal Syawal iaitu Jun depan.

Dalam pada itu Anzalna memberitahu dia berharap dapat melahirkan anaknya secara normal namun tidak kisah sekiranya perlu menjalani pembedahan.

Selain itu, kakak kepada pelakon Afifah Nasir itu sudah mempunyai pilihan nama untuk bayinya yang dicadangkan oleh ahli keluarga sendiri.

“Saya dan suami dah ada nama untuk bayi kami yang dipilih oleh keluarga. Saya buat pertandingan, siapa bagi nama bayi yang menarik akan dapat hadiah,” ujarnya.

Sebelum ini, Anzalna mengumumkan dia hamil empat bulan selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga menerusi laman Instagram miliknya pada Januari lalu.

Pelakon drama bersiri Memori Cinta Suraya itu berkahwin dengan Mohamad Hanif pada 22 Februari 2016.

Anzalna Nasir