“Alhamdulillah, semua selamat cuma kaki kejang” - Mona Allen nyaris lemas, Nazim jadi hero - Hiburan | mStar

“Alhamdulillah, semua selamat cuma kaki kejang” - Mona Allen nyaris lemas, Nazim jadi hero

Mona Allen bersyukur tiada kecederaan pada tubuh. Foto Instagram @mona.allen

PELAKON Mona Allen memberitahu dia nyaris lemas ketika menjayakan satu adegan dalam drama Lara Syakila.

Menerusi laman Instagram milik Nazim Othman, aktor itu berkongsi rakaman video dia menyelamatkan Mona yang sedang terkapai-kapai dengan terjun ke dalam laut.

Mona atau nama sebenar Munna Hafiraneza Allen, ketika dihubungi mStar mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan memaklumkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Ya... saya hampir lemas semasa penggambaran tadi. Tiada apa-apa kecederaan cuma kaki kejang sedikit.

"Sekarang ini semua okay, Nazim yang selamatkan saya," katanya.

Barisan pelakon Lara Syakila.

Dalam rakaman berdurasi kurang seminit itu, Nazim dilihat terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan aktres berusia 34 tahun itu.

"Syukurlah semuanya ok. Tadi Mona Allen hampir mati lemas masa penggambaran. Kita orang dah cuak gila.

"Nasib baik saya dikurniakan kekuatan luar biasa untuk selamatkan dia. Semoga Mona Allen tahu erti bersyukur dan belanja saya makan lobster," tulis Nazim di ruangan kapsyen.

"Terima kasih duyung kayangan sebab selamatkan saya. Saya masih dalam trauma, bila trauma dah hilang saya akan belanja awak," komen Mona di video tersebut.

Isteri kepada pelakon Pekin Ibrahim itu kini sedang menjalani penggambaran drama Lara Syakila di Pulau Langkawi, Kedah.

Selain Mona, drama terbitan Radius One Sdn Bhd ini turut dibintangi oleh Nazim Othman, Ben Amir dan Ameerul Asyraf.

Mona Allen