suria

Suara tenggelam dek pukulan Jaclyn Victor? Siti Nordiana minta jangan bandingkan

Siti Nordiana dan Jaclyn pada Semi Final Muzik-Muzik 33.

PENYANYI Siti Nordiana menafikan suara dan nyanyiannya dalam lagu Nisan Cinta ditenggelami oleh suara rakan duetnya penyanyi Jaclyn Victor seperti diperkatakan netizen.

Siti Nordiana berkata, lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu mengikut kesesuaian suara mereka berdua.

"Lagu itu dihasilkan mengikut identiti suara kami masing-masing, bahagian nyanyian saya mendayu-dayu berbanding Jaclyn di bahagian yang tinggi. Tidak semestinya kami berduet saya kena nyanyi seperti Jac.

"Sebuah lagu duet ada bahagian kena ada dinamik tidak semua tinggi," ujarnya kepada mStar Online.

Siti Nordiana dan Jaclyn bakal membawakan lagu Nisan Cinta.

Siti Nordiana dan Jaclyn Victor bakal bersaing menerusi lagu Nisan Cinta di pentas Anugerah Juara Lagu ke33 (AJL33) pada 3 Februari depan.

Dalam pada itu, Jaclyn berkata, dia tidak mendapati lagu berkenaan memberi kelebihan kepada mana-mana pihak, sebaliknya melihat ia sebagai satu kombinasi yang sempurna.

"Lagu ini boleh dikatakan sebagai satu kombinasi yang sempurna. Semasa proses rakaman berlangsung semua berjalan lancar, jika ada yang tidak kena pasti saya beritahu kepada komposer," ujarnya.

Penyanyi lagu Nisan Cinta ini mengulas pendapat netizen yang menganggap suara Siti Nordiana tidak sesuai dengan Jaclyn ketika menyanyikan lagu tersebut.

Bercerita tentang AJL33, Jaclyn berkata, sebagai penyanyi dia memberi penekanan terhadap persembahan vokal.

Katanya, dia dan Siti Nordiana sudah membuat beberapa latihan vokal bagi memastikan dapat menyampaika lagu itu dengan baik.

Siti Nordiana, Jaclyn Victor

Artikel Lain